'Saya tak mahu hipokrit' – Saiful Malaysian Idol akui pilih hidup sebagai wanita | The Reporter

‘Saya tak mahu hipokrit’ – Saiful Malaysian Idol akui pilih hidup sebagai wanita

Saiful Malaysian Idol menyanyi dengan mikrofon dalam majlis santai, penampilan menyerupai wanita
Saiful Malaysian Idol

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Saiful Bakeri, penyanyi yang pernah mencuri perhatian ramai menerusi Malaysian Idol musim pertama, kembali menjadi perhatian selepas penampilan terkininya yang menyerupai wanita tular di media sosial.

Tanpa berselindung, Saiful mengakui dia sudah lama memiliki naluri kewanitaan. Keputusannya untuk tampil sebagai diri sendiri dibuat demi menghentikan kepura-puraan, walaupun sedar tindakannya sukar diterima masyarakat dan bercanggah dengan ajaran agama.

“Biarlah saya berterus terang, sebelum saya sertai Malaysian Idol lagi naluri saya memang dah lama macam ini (ke arah wanita). Saya tak mahu jadi hipokrit dan menipu satu Malaysia, lambat-laun orang akan tahu.

“Lagipun saya tak kacau hidup orang lain dan paling penting saya pandai jaga diri sendiri,” katanya memetik laporan mStar.

Menurut Saiful, dia sudah lali dengan cemuhan netizen. Malah, kecaman itu tidak lagi memberi kesan besar kepadanya kerana yakin lama-kelamaan ia akan reda.

“Saya malas nak ambil tahu apa orang nak cakap, saya hanya mampu reda sahaja. Kecaman ini pun sekejap sahaja dan lambat laun orang akan diam,” ujarnya.

Tidak tolak doa yang baik

Walau bagaimanapun, Saiful terbuka menerima teguran selagi ia disampaikan dengan niat baik, bukan sekadar menghina. Baginya, setiap orang ada kisah hidup sendiri yang tidak diketahui orang lain.

“Siapa yang suka tengok keadaan kita macam ini tapi lama-kelamaan mungkin mereka akan bosan. Bila saya tengok kecaman netizen, saya doa saja yang baik-baik. Ada yang doa untuk saya yang baik-baik… mungkin Insya-Allah. Tapi yang beri kecaman melampau, bagi saya kehidupan kita ini macam roda. Kita pun tak tahu nasib kita macam mana, kita tak tahu satu hari nanti saya akan berubah.

“Semua orang ada kesalahan. Kita pun tak tahu pengakhiran kita macam mana. Orang nampak kita jahat, tapi dalaman kita orang tak nampak,” katanya memetik laporan Gempak.

Pernah tertekan bila tular kali pertama

Penyanyi berusia 39 tahun itu juga mengakui pernah berasa tertekan apabila kisah peribadinya tular kali pertama. Namun sokongan rakan-rakan membuatkan dia lebih kuat menerima keadaan.

“Masa pertama kali saya pernah tular sebelum ini, ada la rasa ‘down’ sekejap. Tapi bila fikir balik dan kawan-kawan pun ada cakap tak lama pun benda ni (kecaman),” jelasnya.

Video lama kembali raih perhatian

Saiful kini menetap di Sarawak dan hanya sesekali berkunjung ke Kuala Lumpur untuk bersiar-siar. Video yang kembali tular baru-baru ini sebenarnya rakaman lama ketika sambutan Hari Gawai, di mana dia diminta menyanyikan lagu popularnya, Ku Juga Mencintaimu.

“Mengenai video yang viral sekarang, ia adalah rakaman tahun lepas ketika saya menyambut sambutan Hari Gawai di Sarawak. Bila tuan rumah minta menyanyi takkan saya nak tolak? Terkejut juga baru sekarang ia tular,” katanya.

Walaupun imejnya mencetuskan pelbagai reaksi, ramai masih mengakui suara Saiful tetap merdu seperti dahulu dan membangkitkan nostalgia peminat lama.

Sebagai peringatan, dalam ajaran Islam, perbuatan menukar jantina serta mengubah fitrah penciptaan manusia bukan sahaja dilarang keras, malah dianggap satu bentuk penolakan terhadap ketetapan Allah. Ia membawa implikasi besar kepada akidah dan tanggungjawab seorang Muslim dalam memelihara maruah serta identiti yang telah ditetapkan sejak lahir.

Related Posts