Anak kucing terselamat selepas 55 minit berpusing dalam mesin basuh | The Reporter

Anak kucing terselamat selepas 55 minit berpusing dalam mesin basuh

Anak kucing berada di dalam mesin basuh
Anak kucing terselamat selepas terperangkap 55 minit dalam mesin basuh yang sedang berpusing | Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seekor anak kucing bernama Pablo hampir maut selepas secara tidak sengaja masuk ke dalam mesin basuh di rumah pemiliknya di Gold Coast, Australia. Kucing baka Burma berusia sembilan bulan itu dikatakan sedang tidur di dalam mesin basuh tersebut selepas pemiliknya terlupa menutup pintu mesin.

Tanpa menyedari Pablo berada di dalam, pemiliknya memulakan kitaran ‘pembersihan tiub’ selama 55 minit. Mesin tersebut kosong, tiada pakaian, tetapi cukup kuat untuk menyebabkan kecederaan serius pada kucing kecil itu.

Sebaik saja kitaran selesai, pemilik Pablo membuka pintu mesin basuh dan terkejut apabila mendapati kucingnya berada dalam keadaan yang sangat lemah dan cedera. Mereka terus bergegas membawa Pablo ke Hospital Pakar Haiwan Kecil (SASH) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Menurut kakitangan SASH, Ella Yarsley berkata, Pablo mengalami kecederaan otak, paru-paru dan kehilangan beberapa jari kaki.

“Keadaan dia antara yang paling teruk saya pernah lihat. Tak banyak kucing yang boleh hidup selepas melalui satu kitaran penuh dalam mesin basuh. Ini memang ajaib,” katanya memetik laporan Seven News.

SASH turut berkongsi kisah Pablo di media sosial untuk memberi kesedaran kepada orang ramai. Difahamkan kes seperti ini sebenarnya lebih kerap berlaku daripada yang disangka.

“Terima kasih kepada keluarga Pablo kerana izinkan kami kongsikan kisah ini. Percaya atau tidak, kami selalu terima kes begini,” tulis SASH di media sosial.

Pablo kini dilaporkan hampir pulih sepenuhnya. – Agensi

Related Posts