Trump dakwa Iran maklum lebih awal sebelum serang, tanya 'Pukul 1 okay?' | The Reporter

Trump dakwa Iran maklum lebih awal sebelum serang, tanya ‘Pukul 1 okay?’

Donald Trump berbual dengan pemimpin Arab di lokasi padang pasir
President Amerika Syarikat, Donald Trump | Kredit gambar: Associated Press

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Trump dakwa Iran bertanya waktu sesuai sebelum serang Pangkalan AS di Qatar
• Semua peluru berpandu Iran berjaya dipintas kecuali satu
• Trump umum gencatan senjata dan anggap perang sudah tamat

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa pemimpin Iran memberitahu lebih awal tentang serangan balas mereka ke atas pangkalan tentera AS di Qatar, malah bertanya sama ada pukul 1 petang sesuai untuk melepaskan peluru berpandu.

“Mereka kata, ‘Kami akan tembak. Pukul 1 ok?’ Saya kata ok dan semua orang dipindahkan dari pangkalan supaya tiada yang cedera, kecuali petugas meriam,” katanya dalam sidang media di Belanda sempena Sidang Kemuncak NATO.

Serangan itu berlaku pada Isnin lalu di Pangkalan Udara Al Udeid yang merupakan pangkalan ketenteraan AS terbesar di rantau Asia Barat. Ia dilaporkan berlaku sebagai tindak balas terhadap serangan tentera AS pada Sabtu yang merosakkan tiga tapak pengayaan nuklear Iran.

Iran benar-benar beri amaran atau hanya dakwaan Trump?

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengesahkan serangan itu sejurus selepas saksi mendakwa melihat dan mendengar letupan di ruang udara Qatar.

Trump mendakwa 14 peluru berpandu telah dilancarkan dan sistem pertahanan AS berjaya memintas semuanya kecuali satu.

“Semua 14, seperti yang anda tahu berjaya dipintas oleh peralatan kita. Hebat betul. Macam tembak peluru dengan peluru. Satu dibiarkan terlepas sebab ia menuju ke arah yang tidak membahayakan,” katanya.

Pentagon juga mengesahkan tiada kematian atau kecederaan dalam insiden itu. Trump menyifatkan serangan Iran itu sebagai “respon yang sangat lemah” dan berharap tindakan itu sudah cukup untuk meredakan ketegangan.

Apa seterusnya? Rundingan semula atau berakhir begitu sahaja?

Trump turut mengumumkan gencatan senjata antara Iran dan Israel kini berkuat kuasa, menghentikan serangan balas peluru berpandu dan dron buat sementara waktu. Namun, ketika ditanya mengenai kemungkinan rundingan baharu dengan Iran, Trump menjawab beliau tidak berminat buat masa ini.

“Tapi kami akan berjumpa semula minggu depan. Saya boleh minta Iran buat kenyataan rasmi bahawa mereka takkan bangunkan senjata nuklear, tapi mereka pun memang takkan buat pun,” katanya.

Sumber: The Washington Times

Related Posts