Seorang pekerja kepada usahawan terkenal, Kieda Crepe, tampil memberikan penjelasan berhubung keraguan orang ramai terhadap tahap kebersihan produk makanan yang dijual di premis berkenaan susulan laporan mengenai Kieda dijangkiti herpes.
Menurut wanita yang dikenali sebagai Alya, Kieda kini tidak hadir ke premis perniagaan selepas dinasihatkan berehat oleh doktor. Jelasnya, Kieda juga tidak terlibat dalam proses pengendalian makanan atau memasuki bahagian produksi di kedai tersebut.
“Selepas mendapat nasihat daripada doktor, buat masa ini Kieda berehat di rumah. Kalau perasan, kebanyakan siaran langsung beliau sekarang dibuat dari rumah sahaja.
“Dalam tempoh terdekat ini, beliau tidak menguruskan makanan di kedai dan langsung tidak masuk ke bahagian produksi,” katanya.
Mengulas mengenai video Thai Bun yang menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan netizen, Alya menjelaskan bahawa rakaman tersebut merupakan video lama yang dimuat naik semula sebagai paparan imbas kembali untuk memaklumkan produk tersebut masih dijual di premis berkenaan.
“Video itu dimuat naik semula sebagai throwback. Malah, sebahagian staf yang muncul dalam video itu pun ada yang sudah berhenti kerja.
“Kepada pelanggan yang berasa was-was dengan makanan yang dijual di Kieda Crepe House, jangan risau kerana Kieda sendiri tidak mengendalikan makanan. Kini, operasi dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan Kieda Crepe House,” katanya lagi.








