• AS minta China campur tangan halang Iran tutup Selat Hormuz
• Penutupan selat boleh jejaskan 20% bekalan minyak global dan melonjakkan harga
• Penganalisis anggap risiko masih rendah, tapi pasaran mungkin terlalu yakin
Amerika Syarikat (AS) meminta China campur tangan untuk halang Iran daripada menutup Selat Hormuz, iaitu laluan penting bagi penghantaran minyak dunia. Gesaan itu disuarakan oleh Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, susulan ketegangan yang semakin memuncak selepas AS mengebom tiga tapak nuklear utama Iran hujung minggu lalu.
“Saya menggalakkan kerajaan China menghubungi Iran mengenai perkara ini, kerana mereka sangat bergantung kepada Selat Hormuz untuk mendapatkan bekalan minyak,” kata Rubio dalam temu bual bersama Fox News.
China merupakan pembeli utama minyak Iran dan mempunyai hubungan diplomatik yang kukuh dengan republik itu.
Iran ancam bertindak balas, parlimen sokong tutup selat
Dalam kenyataan lain, Menteri Luar Iran memberi amaran pihaknya “menyimpan semua pilihan untuk mempertahankan kedaulatan” selepas serangan AS. Media rasmi Iran juga melaporkan Parlimen juga menyokong cadangan untuk menutup Selat Hormuz, namun keputusan muktamad terletak di tangan Majlis Keselamatan Negara Iran.
Penutupan Selat Hormuz, iaitu laluan sempit antara Iran dan Oman, boleh menjejaskan ekonomi dunia dengan serius. Mengikut data Pentadbiran Maklumat Tenaga AS, kira-kira 20 juta tong minyak sehari atau 20% daripada penggunaan global dihantar melalui selat itu sepanjang tahun 2024.
Apa risiko jika selat ditutup?
Penganalisis dari Goldman Sachs dan Rapidan Energy menjangka harga minyak boleh naik melebihi $100 setong jika Selat Hormuz ditutup dalam tempoh yang lama.
Namun, pakar dari JPMorgan anggap kemungkinan itu rendah kerana AS mungkin akan anggap tindakan itu sebagai pengisytiharan perang.
‘Tindakan Iran boleh memakan diri sendiri’
“Ia seperti merosakkan diri sendiri dari segi ekonomi,” kata Rubio kerana minyak Iran sendiri juga dihantar melalui selat itu.
Iran kini ialah pengeluar minyak ketiga terbesar dalam OPEC, dengan pengeluaran sekitar 3.3 juta tong sehari. Pada bulan lalu, Iran mengeksport 1.84 juta tong minyak, kebanyakannya dihantar ke China. Malah, hampir separuh daripada minyak mentah yang diimport oleh China datang dari kawasan Teluk Parsi.
“Kalau Iran tutup Selat Hormuz, mereka sendiri yang rugi. Eksport minyak ke China pun akan terhenti, sedangkan itu adalah sumber pendapatan utama mereka,” kata Matt Smith, penganalisis kanan minyak di Kpler kepada CNBC.
Adakah AS akan bertindak jika Iran tutup selat?
Rubio menegaskan bahawa tindakan Iran menutup Selat Hormuz bukan sahaja akan mencetuskan ketegangan antarabangsa, malah boleh merugikan ekonomi global lebih daripada menjejaskan AS. Beliau melihat langkah itu sebagai satu bentuk peningkatan konflik yang besar dan dijangka akan mendapat reaksi tegas daripada negara-negara lain, bukan hanya Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, analisis daripada bekas penasihat tenaga kepada Presiden George W. Bush, Bob McNally menunjukkan bahawa pasaran mungkin meremehkan potensi gangguan sebenar.
Menurutnya, sekiranya Iran bertindak menutup Selat Hormuz, gangguan terhadap laluan penghantaran minyak boleh berlarutan selama berminggu atau berbulan, berbanding jangkaan pasaran yang menganggap isu itu dapat diselesaikan dalam masa beberapa hari. Walaupun AS berpotensi mengawal semula keadaan, prosesnya dijangka rumit dan bukan semudah yang disangka.
Sumber: CNBC








