'Saya patut menang Hadiah Nobel' – Trump dilabel narsistik | The Reporter

‘Saya patut menang Hadiah Nobel’ – Trump dilabel narsistik

Donald Trump bercakap di hadapan mikrofon semasa sidang media
Trump ketika ditemui media di New Jersey, mendakwa dirinya patut menang Hadiah Nobel | Kredit gambar: AP/Allison Robbert

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Trump dakwa dirinya layak menang Hadiah Nobel atas ‘usaha damai’ di beberapa negara
• Kenyataan itu dikecam ramai penganalisis yang menganggapnya bersifat narsisistik
• India menafikan penglibatan Trump dalam proses damai dengan Pakistan

Donald Trump sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mendakwa dirinya patut menerima Hadiah Nobel Keamanan kerana kononnya berjaya membantu menyelesaikan beberapa konflik antarabangsa, termasuk di India, Pakistan, Rwanda, Serbia dan Congo.

Ketika ditemui media sejurus tiba di New Jersey untuk bercuti di resort miliknya, Trump berkata, “Mereka patut beri saya Hadiah Nobel kerana usaha saya di Rwanda. Tengok saja apa yang berlaku di Congo. Serbia pun sama. Banyak negara saya bantu.

“Yang paling besar ialah India dan Pakistan. Saya sepatutnya sudah terima anugerah itu empat atau lima kali. Tapi mereka takkan beri sebab hanya orang liberal saja yang dapat,” katanya.

Penganalisis politik dan media anggap Trump terlalu dahagakan pengiktirafan

Kenyataan itu dilihat oleh ramai sebagai cubaan Trump untuk terus menarik perhatian dan membina imej diri sebagai tokoh penting dalam isu antarabangsa. Pemerhati politik menyifatkan ia sebagai bukti kepada sikap narsisistik Trump yang kerap mengangkat peranannya secara berlebihan.

Beberapa penganalisis turut menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan Trump membuat dakwaan tanpa asas, terutama dalam isu melibatkan dasar luar negara. Tindakan seperti ini boleh menjejaskan kredibiliti kepimpinan Amerika di mata dunia.

Sementara itu, media dan pegawai rasmi di India telah menafikan secara terbuka bahawa Trump terlibat dalam proses damai antara India dan Pakistan, sekali gus menafikan kesahihan kenyataan beliau.

Apa sebenarnya peranan Trump dalam konflik India-Pakistan?

Walaupun Trump pernah menawarkan diri sebagai perantara dalam konflik antara India dan Pakistan, tiada bukti menunjukkan beliau terlibat secara langsung atau memainkan peranan penting dalam penyelesaian konflik tersebut.

Sebaliknya, kedua-dua negara menguruskan rundingan secara dalaman dan kenyataan rasmi menyebut bahawa gencatan senjata dicapai tanpa campur tangan pihak luar termasuk Amerika Syarikat. – Agensi

Related Posts