'Jangan alih tiang gol dengan avokado', Amira Aisya kritik SST kerajaan Madani | The Reporter

‘Jangan alih tiang gol dengan avokado’, Amira Aisya kritik SST kerajaan Madani

Amira Aisya Abd Aziz kritik cukai SST kerajaan Madani
Amira Aisya Abd Aziz persoal pelaksanaan SST 5% ke atas ikan dan buah tempatan yang dibeli rakyat marhaen, bukan sekadar avokado dan salmon seperti yang dinyatakan kerajaan. Gambar: Facebook Amira Aisya

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz menzahirkan kebimbangan terhadap pelaksanaan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas barangan asas dan buah-buahan import yang disifatkannya sebagai membebankan rakyat.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Amira mempersoalkan kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menyentuh tentang avokado dan salmon sebagai contoh barang import dikenakan cukai, sedangkan hakikatnya pelbagai bahan makanan harian turut terjejas.

“Bukan salmon dan avokado sahaja seperti yang Menteri Kewangan sebut. Malaysia import daging, cili, halia, kubis, mangga, kelapa dan banyak lagi.

“Pisang emas, rambutan, mangga pun kena cukai. Ikan kembung, ikan sardin, cencaru, ikan bilis, ikan selar. Ini semua ikan yang rakyat biasa makan – akan dikenakan SST 5% bermula 1 Julai ini. Ikan kembung, ikan sardin, cencaru, ikan bilis, ikan selar. Ini bukan ikan T20,” katanya.

Menurut beliau, dasar itu tidak selari dengan keadaan sebenar negara yang masih bergantung tinggi kepada import bahan makanan. Malah, beliau merujuk kepada kenyataan Menteri Pertanian sendiri pada tahun 2023 yang mendedahkan nilai imbangan perdagangan dalam sektor makanan menunjukkan defisit besar mencecah RM25 bilion.

Tambahnya, alasan kononnya rakyat boleh berjimat dengan membeli produk tempatan juga tidak realistik.

“Kalau nak rakyat berjimat dan hanya beli buah dan ikan tempatan, bekalan tempatan cukup atau tidak untuk semua? Mestilah tidak cukup.”

Amira juga membandingkan kenyataan Perdana Menteri berhubung avokado dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dahulu berkenaan quinoa, dan menyifatkan kedua-duanya mencerminkan sikap tidak cakna terhadap kesusahan rakyat.

Beliau turut menyindir Ahli Parlimen kerajaan yang disifatkan memilih untuk berdiam diri dalam isu ini.

“Tugas hakiki seorang Ahli Parlimen ialah untuk buat dasar yang bantu rakyat, bukannya menyokong dasar yang menindas rakyat secara membuta tuli,” ujarnya.

Related Posts