Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Seorang pemandu bas ekspres dikecam selepas tular video dia bermain TikTok ketika memandu dari Pulau Pinang ke Mersing.
• Seorang penumpang menjerit marah, mendakwa pemandu memandu laju dan membahayakan nyawa ramai termasuk kanak-kanak.
• Netizen gesa tindakan tegas, termasuk cadangan wajibkan dashcam, ujian psikometrik dan pemantauan JPJ dalam bas ekspres.
Seorang pemandu bas ekspres dikecam selepas tular video yang mendakwa dia bermain aplikasi TikTok ketika sedang memandu bas dari Pulau Pinang ke Mersing. Insiden tersebut mencetuskan kemarahan ramai apabila seorang penumpang tampil menegur dengan nada lantang selepas pemandu dikatakan tidak mengendahkan teguran awal.
Difahamkan, bas berkenaan membawa puluhan penumpang termasuk kanak-kanak. Malangnya, pemandu bas itu masih leka melayari TikTok walaupun sedang memandu kenderaan berat di jalan raya. Teguran secara baik tidak diendahkan, malah pemandu terbabit didakwa memandu lebih laju seolah-olah mencabar penumpang yang menegurnya. Keadaan mula menjadi tegang apabila salah seorang penumpang hilang sabar dan menegurnya dengan nada marah.
Antara dialog penumpang yang kedengaran dalam video:
“Haram jadah! Kau tak fikir ke nyawa orang lain?! Aku dah bersabar, tapi lagi macam haram jadah kau bawa! Kau tak fikir ke nyawa orang? Kau gila ke?! Kalau bas terbalik, semua mati la bodoh!
“Aku bersabar dan dari tadi aku beritahu dekat kau. Kau nak mampus, pergi mampus seorang diri!”
Puas hati dengar brother ni sound driver bas yang memandu secara berbahaya. Bawak berpuluh-puluh nyawa dalam bas sambil layan Tiktok. Hareyyyy betuilah pic.twitter.com/WD9pADFyAj
— Cikgu_Anep (@Cikgu_Anep) June 16, 2025
Turut kedengaran dalam rakaman itu adalah suara kanak-kanak menangis, dipercayai trauma dengan insiden itu.
“Nyawa manusia bukan mainan!” – Netizen desak tindakan tegas
Tindakan pemandu itu mencetuskan kemarahan netizen yang rata-ratanya menyifatkan pemandu tersebut tidak layak memegang amanah membawa penumpang. Ramai menyokong tindakan tegas penumpang yang berani bersuara dan menyarankan ia dijadikan contoh kepada orang lain agar tidak berdiam diri apabila keselamatan terancam.
Ada yang mencadangkan JPJ menempatkan pegawai penguat kuasa dalam setiap perjalanan bas ekspres, bukan hanya fokus pada operasi saman jalanan seperti plat fancy dan cermin gelap. Cadangan lain termasuk mewajibkan ujian psikometrik terhadap semua pemandu bas ekspres seperti calon penjawat awam.
Netizen juga menekankan pentingnya pemasangan dashcam atau CCTV dalam setiap bas bagi memantau tingkah laku pemandu secara langsung serta menyediakan saluran aduan rasmi yang mudah diakses oleh penumpang.
Walaupun pelbagai peringatan dan kempen keselamatan telah dijalankan oleh pihak berkuasa, insiden seperti ini menunjukkan masih ada pemandu yang cuai dan tidak serik, seolah-olah nyawa orang lain tidak berharga bagi mereka.








