Tak perlu ambil keterangan PMX dalam siasatan kes Yusoff Rawther - KPN | The Reporter

Tak perlu ambil keterangan PMX dalam siasatan kes Yusoff Rawther – KPN

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain beri kenyataan media
Ketua Polis Negara sahkan tiada keperluan ambil keterangan PMX dalam siasatan kes Yusoff Rawther

• PMX tidak dipanggil beri keterangan kerana tindakan awal telah diambil
• Dua kertas siasatan dibuka membabitkan dadah dan pistol
• Cadangan pertuduhan terhadap Yusoff Rawther telah dikemuka kepada Pejabat Peguam Negara

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mengambil keterangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam siasatan berkaitan laporan oleh Muhammad Yusoff Rawther kerana tindakan siasatan telah pun diambil sejak awal berdasarkan maklumat yang diberikan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan terhadap laporan yang dibuat Yusoff pada 12 September 2024 telah dijalankan menerusi dua kertas siasatan membabitkan penemuan dadah dan sepucuk pistol. Pada ketika itu, pihak polis menilai bahawa tindakan sewajarnya telah dilaksanakan.

“Tiada keperluan untuk mengambil kenyataan YAB PMX dalam kes tersebut memandangkan tindakan tersebut telah diambil ketika aduan dibuat oleh Yusoff Rawther di peringkat awal,” katanya dalam kenyataan media dikeluarkan pada 13 Jun 2025.

Cadangan pertuduhan diserah kepada Peguam Negara

PDRM memaklumkan, cadangan pertuduhan bagi kedua-dua kes telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara. Berdasarkan keterangan sedia ada, pihak polis berpuas hati ia sudah mencukupi untuk mendakwa Yusoff Rawther tanpa perlu memanggil mana-mana pihak lain bagi melengkapkan siasatan.

Dalam masa sama, PDRM akan menunggu dan meneliti penghakiman penuh Mahkamah Tinggi untuk menilai jika wujud sebarang kelemahan dalam siasatan terdahulu. Sekiranya perlu, semakan terhadap prosedur operasi standard (SOP) akan dilakukan bagi menambah baik sistem penyiasatan.

PDRM jamin siasatan adil dan profesional

Pihak polis turut memberi jaminan setiap laporan akan disiasat secara adil dan tanpa prejudis, walaupun melibatkan suspek berprofil tinggi.

“Setiap laporan polis yang dilaporkan akan disiasat dengan adil dan tanpa prejudis oleh PDRM walaupun melibatkan suspek berprofil tinggi termasuk dalam kes Yusoff Rawther.”

Keputusan untuk mendakwa pula adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara, seperti termaktub dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataan sama, Razarudin menyatakan penghargaan terhadap pandangan pelbagai pihak susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mencerminkan komitmen rakyat terhadap keadilan dan hak asasi manusia.

Beliau menambah, sebagaimana kes-kes lain yang tidak memihak kepada PDRM, pihaknya akan terus mengambil tindakan proaktif dalam memperbaiki kualiti siasatan dan memastikan pendakwaan lebih berkesan.

Related Posts