Pemandu bas terlibat nahas UPSI mengaku tidak bersalah | The Reporter

Pemandu bas terlibat nahas UPSI mengaku tidak bersalah

Pemandu bas dibawa ke mahkamah atas pertuduhan nahas yang mengorbankan 15 pelajar UPSI.
Mohd Amirul Fadhil Zulkifli, pemandu bas yang terlibat dalam nahas meragut 15 nyawa pelajar UPSI. Gambar: Sinar Harian

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang pemandu bas, Mohd Amirul Fadhil Zulkifli, 39 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Gerik atas 15 pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam satu kemalangan pada 9 Jun lalu.

Tertuduh yang berasal dari Pengkalan Nyireh, Terengganu, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.

“Saya faham. Saya mohon bicara,” katanya.

Kesalahan itu didakwa berlaku di KM 53 Lebuhraya Timur-Barat kira-kira jam 1.15 pagi, dan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Mohd Amirul juga menghadapi satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 42(1) akta sama atas kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya. Jika disabitkan, beliau boleh dihukum penjara hingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000, dan lesen memandu digantung minimum lima tahun.

Terdahulu, pada Isnin lalu, sebuah bas persiaran yang membawa 42 pelajar UPSI dari Jertih, Terengganu ke kampus utama telah terlibat dalam kemalangan yang meragut 15 nyawa.

Sumber: Sinar Harian, Berita Harian

Related Posts