Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Mahathar Abd Wahab, merakamkan penghargaan tertinggi kepada petugas kesihatan yang terlibat dalam pengurusan tragedi nahas bas melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Dalam satu surat penghargaan rasmi yang ditujukan kepada wira-wira kesihatan di Hospital Gerik dan fasiliti lain yang terlibat, beliau menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas tindakan pantas, dedikasi dan pengorbanan luar biasa yang ditunjukkan oleh pasukan perubatan dalam menyelamatkan nyawa serta meringankan beban mangsa dan keluarga.
“Kejadian ini bukan sekadar ujian bagi negara, tetapi juga bukti kekuatan, ketabahan dan keikhlasan para petugas kesihatan. Tanpa ragu atau rungutan, mereka berdiri teguh di barisan hadapan,” ujar beliau.
Pasukan Hospital Gerik dipuji atas keupayaan mereka mengendalikan 29 mangsa, termasuk menjalankan bedah siasat dan memberikan sokongan emosi kepada keluarga yang terlibat. Pengorbanan kakitangan yang sanggup bertugas hingga lewat malam serta hadir seawal jam 3 pagi dikatakan mencerminkan semangat sebenar #KamiSediaMembantu.
Turut menerima pujian ialah pasukan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Taiping dan Hospital Baling yang bekerjasama mengendalikan rawatan kritikal dan pemindahan mangsa. Selain itu, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak dan Kinta serta klinik-klinik kesihatan yang memberikan bantuan logistik, ambulans dan sokongan psikososial turut dihargai.
“Walaupun mungkin kurang terlihat, inisiatif ini menyerlahkan keupayaan sistem kesihatan negara untuk menangani situasi kritikal dengan koordinasi yang berkesan dan semangat profesionalisme.
“Seperti kata Dr Adam, “Kitalah yang berdiri di barisan hadapan, menyumbang bakti tanpa banyak bicara.” Seluruh staf KKM yang terlibat termasuk doktor, jururawat dan staf sokongan adalah wira sebenar. Tragedi ini membuktikan bahawa semangat pengorbanan dan komitmen anda tidak pernah luntur,” katanya.
Penghargaan berkenaan turut dikongsikan oleh kakitangan Hospital Gerik yang menyifatkan pengiktirafan tersebut bukan sahaja menyuntik semangat kepada semua petugas, malah menjadi simbol bahawa usaha, pengorbanan dan komitmen yang diberikan dalam menangani tragedi nahas bas penuntut UPSI dihargai dan diiktiraf di peringkat tertinggi.








