‘Bukan bertembung, bas terbabas dan langgar belakang Alza’ - Ketua Polis Perak | The Reporter

‘Bukan bertembung, bas terbabas dan langgar belakang Alza’ – Ketua Polis Perak

Keadaan bas UPSI dan MPV Alza yang remuk selepas nahas di Jalan Raya Timur-Barat
Bas UPSI dan MPV Alza remuk teruk selepas nahas di Gerik, 15 pelajar dilaporkan maut

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


● Bas persiaran yang membawa pelajar UPSI dari Jerteh ke Tanjung Malim dipercayai hilang kawalan selepas melanggar sebuah MPV, mengakibatkan 15 maut dan 27 cedera.
● MPV yang dirempuh dinaiki sepasang suami isteri bersama dua anak kecil, kini dirawat di Hospital Baling.
● Polis sedang siasat punca kejadian termasuk kemungkinan bas dipandu laju; kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebuah bas persiaran yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan meragut 15 nyawa dalam kejadian di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli–Gerik awal pagi Isnin.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan, siasatan awal mendapati bas berkenaan dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu menuju ke kampus UPSI di Tanjung Malim sebelum melanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.

Bas disewa khas oleh pelajar UPSI

MPV tersebut difahamkan dinaiki sepasang suami isteri bersama dua anak mereka berusia enam dan tiga tahun yang sedang dalam perjalanan pulang ke Baling, Kedah.

“Bas yang disewa khas oleh pelajar UPSI itu melanggar MPV terbabit sebelum hilang kawalan dan terbabas, menyebabkan 15 pelajar maut manakala 27 lagi cedera,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, memetik Sinar Harian.

Menurut Noor Hisam, pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindannya yang berusia 54 tahun turut mengalami kecederaan dalam insiden itu. Jenazah 13 mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk proses bedah siasat, manakala dua lagi dibawa ke Hospital Gerik.

Seramai 27 pelajar yang cedera terdiri daripada 23 wanita dan empat lelaki berusia antara 21 hingga 23 tahun dan sedang menerima rawatan di HRPB, Hospital Gerik dan Hospital Taiping.

Manakala empat sekeluarga yang menaiki MPV pula kini dirawat di Hospital Baling, Kedah.

Mengulas dakwaan bahawa bas dipandu laju sebelum kejadian, beliau menjelaskan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh, termasuk aspek teknikal dan keadaan jalan. Kes diklasifikasikan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : Sinar Harian

Related Posts