'Mudah percaya kisah tahyul Cikgu Nina & pocong kerana kurang ilmu akidah', Mufti Wilayah seru fokus amalan membina | The Reporter

‘Mudah percaya kisah tahyul Cikgu Nina & pocong kerana kurang ilmu akidah’, Mufti Wilayah seru fokus amalan membina

Kisah seperti 'Cikgu Nina dan pocong' menunjukkan bagaimana segelintir masyarakat masih mempercayai tahyul yang menyimpang daripada akidah Islam sebenar
Datuk Dr. Ahmad Fauwaz Fadzil menjelaskan bahawa kepercayaan terhadap makhluk halus seperti pocong adalah satu penyelewengan daripada tujuan asal penciptaan jin dan syaitan. Gambar: FB Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Baru-baru ini tular kisah mengenai Cikgu Nina yang didakwa meninggal dunia kerana gangguan dari pocong. Kisah cikgu Nina mula tular apabila kononnya dia bercerita kisah seram dialaminya semasa menyewa di sebuah rumah di sekitar Selangor.

Kisah berkenaan juga membuatkan ramai yang percaya dan simpati dengan nasib yang dialami oleh Cikgu Nina. Fenomena ini bagaimanapun berpunca daripada kelemahan akidah, kekosongan rohani serta masalah psikologi yang akhirnya mendedahkan mereka kepada kepercayaan khurafat yang menyesatkan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Ahmad Fauwaz Fadzil menjelaskan bahawa kepercayaan terhadap makhluk halus seperti pocong adalah satu penyelewengan daripada tujuan asal penciptaan jin dan syaitan menurut syariat Islam. Menurut beliau, makhluk ini dicipta bukan untuk menjadi sumber ketakutan melampau, tetapi sebagai alat ujian dan pentarbiahan Ilahi kepada manusia.

Katanya, kepercayaan sebegini juga bertentangan dengan maqasid keamanan yang menuntut ketenteraman jiwa dan kestabilan sosial. Kisah seperti ‘Cikgu Nina’ yang didakwa tinggal serumah dengan pocong jelas menggambarkan bagaimana sesetengah lapisan masyarakat masih mempercayai kewujudan roh berkeliaran dan makhluk ghaib, sedangkan Islam menolak kepercayaan tanpa dalil sahih.

“Kepercayaan ini menyeleweng daripada maqasid penciptaan jin dan syaitan yang bertujuan sebagai ujian dan ibadah serta bukan sumber ketakutan melampau. Ia juga bercanggah dengan maqasid keamanan yang menuntut ketenteraman jiwa dan kestabilan sosial,” katanya.

Bentuk penyimpangan yang jauh

Tambah beliau lagi, budaya khurafat dan tahyul ini menjadikan makhluk ghaib sebagai pusat ketakutan serta dijadikan penjelasan terhadap pelbagai fenomena kehidupan yang tidak difahami. Ini adalah satu bentuk penyimpangan yang jauh daripada asas wahyu dan maqasid penciptaan jin, yang sepatutnya bertujuan untuk memperkukuh ibadat kepada Allah SWT dan menjadi ujian keimanan manusia melalui godaan dan was-was.

Memetik artikel dari Al- Afkar #155 Ahmad Fauwaz turut menegaskan bahawa kepercayaan kepada perkara ghaib tanpa sandaran wahyu hanya akan melemahkan umat dari sudut pemikiran dan spiritual. Oleh itu, pemurnian akidah serta penolakan budaya khurafat perlu diberi penekanan demi menjamin kehidupan yang aman, rasional dan selari dengan roh Islam.

Kegagalan membezakan antara kebenaran dan tahyul

Menurut beliau, kecenderungan masyarakat terhadap perkara khurafat berpunca daripada kelemahan psikologi termasuklah kurang ilmu yang menyebabkan kegagalan membezakan antara kebenaran dan tahyul. Di samping itu, kekosongan rohani akibat tidak mengamalkan ibadat seperti solat, puasa dan zikir, serta tekanan mental seperti kemurungan dan hilang keyakinan diri turut membuka ruang kepada kepercayaan karut.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar pendidikan akidah dan pengukuhan amalan ibadat diperkasakan. Umat Islam perlu fokus kepada ilmu dan amal yang membina, bukan menyibukkan diri dengan perkara tidak bermanfaat. Kekuatan ilmu, rohani dan emosi adalah benteng paling penting dalam menghadapi pengaruh budaya songsang seperti khurafat dan tahyul.

“Masyarakat disaran agar tidak menyibukkan diri dengan perkara yang tidak membawa manfaat kepada dunia dan akhirat, sebaliknya menumpukan perhatian kepada ilmu dan amalan yang membina. Hanya dengan mengembalikan kefahaman akidah yang murni serta membersihkan masyarakat daripada kepercayaan khurafat, barulah terbentuk individu Muslim yang mampu berinteraksi dengan realiti secara matang dan membina peradaban yang lestari,” katanya.

Related Posts