40 tahun jadi jurubahasa isyarat, Tan Lee Bee terima Bintang Ahli Mangku Negara daripada YDPA | The Reporter

40 tahun jadi jurubahasa isyarat, Tan Lee Bee terima Bintang Ahli Mangku Negara daripada YDPA

Yang di-Pertuan Agong menyemat Bintang Ahli Mangku Negara kepada Tan Lee Bee
Tan Lee Bee menerima Bintang Ahli Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong atas jasanya selama 40 tahun sebagai jurubahasa isyarat

Selama lebih empat dekad, wajah dan tangan Tan Lee Bee mengisi sudut kecil di kaca televisyen. Namun, sumbangannya sebagai jurubahasa isyarat akhirnya menerima pengiktirafan besar apabila beliau dikurniakan Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, semalam di Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Bagi Tan, 64, yang sering dilihat dengan mimik ekspresif ketika menyampaikan berita kepada komuniti bisu-pekak, anugerah ini bukan sekadar satu penghormatan peribadi, tetapi lambang perjuangan semua jurubahasa isyarat yang berjuang tanpa sorotan.

“Saya rasa gembira, terharu, ingin menangis juga… saya rasa amat bersyukur,” kata Tan memetik laporan Bernama kepada Bernama.

Bermula dari kasih pada adik sendiri

Tan tidak pernah merancang menjadi jurubahasa isyarat. Segalanya bermula kerana adik kandungnya sendiri yang mengalami masalah pendengaran. Demi adiknya, dia belajar bahasa isyarat sebelum menjadi guru pendidikan khas selama 17 tahun dan mencipta sejarah sebagai jurubahasa mahkamah pertama di Malaysia pada 1994.

“Saya mempunyai seorang adik kurang upaya pekak… Saya belajar bahasa isyarat kerana adik saya. Seterusnya saya mula bertugas sebagai seorang guru untuk orang pekak. Saya menjadi guru selama 17 tahun. Semasa menjadi guru, saya juga berkhidmat sebagai jurubahasa dengan Mahkamah Persekutuan Malaysia,” katanya.

Kerjaya beliau bersama dunia penyiaran bermula sejak 1985 menerusi program Selamat Pagi Malaysia sebelum menjadi wajah tetap RTM dan pelbagai siaran rasmi negara. Beliau juga berkhidmat dalam sektor korporat bagi membantu komunikasi pekerja OKU dalam mesyuarat dan taklimat.

“Pengiktirafan ini bukan hanya untuk saya seorang, tetapi juga simbolik penghormatan kepada setiap jurubahasa yang bekerja dalam senyap demi keterangkuman yang lebih adil di Malaysia,” katanya sebak.

Tan merupakan antara 16 individu menerima Bintang AMN pada istiadat tersebut yang turut dihadiri Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, serta isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara, barisan jemaah menteri dan tetamu kehormat lain.

Sumber: Bernama

Related Posts