BYD Atto 3 tiba-tiba berhenti di lorong laju, pemilik nekad serah semula kereta kepada syarikat | The Reporter

BYD Atto 3 tiba-tiba berhenti di lorong laju, pemilik nekad serah semula kereta kepada syarikat

Kenderaan BYD Atto 3 berhenti di lorong kecemasan selepas insiden brek mengejut di lebuh raya
Kenderaan BYD Atto 3 milik Izwan Hassan yang berhenti sendiri di lorong laju sebelum ditunda, seperti dirakam pada hari kejadian di lebuh raya Cheras–Kajang. | Gambar: Izwan Hassan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang pemilik kenderaan elektrik BYD Atto 3 membuat keputusan menamatkan pemilikan SUV itu selepas mengalami detik mencemaskan di lebuh raya. BYD Sime Motors bertindak menyelesaikan baki pinjaman penuh bagi kenderaan tersebut sebagai sebahagian penyelesaian isu berkenaan.

Izwan Hassan, 33, berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan keselamatan keluarganya, meskipun beliau mengalami sedikit kerugian kewangan daripada ansuran yang telah dibayar sepanjang 10 bulan memiliki kenderaan itu.

“Kami hargai cara profesional BYD Sime Motors menyelesaikan isu ini secara baik dengan membeli semula kereta melalui penyelesaian penuh pinjaman bank.
Walaupun ada sedikit kerugian dari bayaran sebelum ini, saya tidak sanggup berdepan risiko yang sama. Keselamatan keluarga saya lebih penting,” katanya dalam hantaran Facebook.

Kereta tiba-tiba berhenti di lorong laju lebuh raya

Insiden berkenaan berlaku pada 1 Mei lalu ketika Izwan bersama keluarganya dalam perjalanan dari Melaka ke Pulau Pinang. BYD Atto 3 yang dipandunya secara tiba-tiba berhenti sepenuhnya di lorong paling kanan Lebuhraya Cheras–Kajang pada kelajuan antara 90 hingga 100 km/j.

Kenderaan itu kemudian dihantar ke pusat servis BYD Glenmarie dan disimpan selama 12 hari sebelum pihak syarikat datang berjumpa dengan Izwan di Melaka. Hasil pemeriksaan mendapati punca sebenar bukanlah disebabkan bateri 12V seperti yang disangka pada awalnya, sebaliknya berpunca daripada kerosakan pada sensor pintu pemandu.

“Mereka memaklumkan apabila sensor pintu rosak, sistem keselamatan kereta akan terus diaktifkan. Lampu hazard akan menyala, brek akan ditekan secara automatik dan keseluruhan sistem operasi kenderaan akan dihentikan,” katanya.

Rakaman dashcam menunjukkan kenderaan itu mula membrek pada jam 12.20 pagi pada kelajuan 106 km/j dan berhenti sepenuhnya dalam masa kurang tujuh saat.

Menurut Izwan, tiada sebarang amaran awal diberikan sebelum sistem keselamatan kenderaan diaktifkan, menjadikan situasi lebih berbahaya kerana pemandu tidak sempat bertindak balas. Stereng juga dikatakan tidak dapat dipusing walaupun gear telah ditukar ke neutral.

Pertimbang pilih jenama kereta lain

Insiden tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemilik kenderaan elektrik (EV) dan netizen, khususnya terhadap kebergantungan sistem automatik tanpa isyarat amaran awal.

Izwan berkata, pengalaman itu memberi pengajaran kepadanya untuk lebih berhati-hati dalam memilih kenderaan dan dia kini sedang mempertimbangkan jenama lain yang menawarkan ciri keselamatan serta sokongan selepas jualan yang lebih diyakini.

Setakat ini, BYD masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.

Related Posts