Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang mekanik dan YouTuber muda dari Itali, Andrea Marazzi, mencetuskan sensasi antarabangsa selepas berjaya mengubah suai sebuah Fiat Panda tahun 1993 menjadi kereta boleh dipandu paling sempit di dunia.
Kereta elektrik unik yang dinamakan Flat Fiat ini tampak seakan-akan rekaan digital, namun ia adalah hasil kerja tangan sebenar Marazzi selama setahun. Dengan lebar hanya 50 sentimeter, ruang dalamannya cukup-cukup untuk memuatkan seorang pemandu sahaja, lengkap dengan satu lampu depan bagi membantu penglihatan pada waktu malam.
Apa yang menjadikan projek ini lebih istimewa, Marazzi menggunakan sekitar 99 peratus komponen asal Fiat Panda termasuk empat tayar, walaupun reka bentuknya kelihatan seakan dipotong separuh. Proses membina kereta tersebut mengambil masa 12 bulan penuh dengan cabaran dan pembetulan yang berulang kali.
Baca berita terkini:
- Kerajaan mungkin pertimbang potong gaji menteri jika ekonomi semakin mencabar
- Isu aurat dalam tahanan: Muslimat PAS gesa penambahbaikan segera
- Kisah ‘Mahasiswa Abadi’: Tesis didakwa diambil rakan, Dessy kini alami tekanan mental
Mengapa Marazzi bina kereta sekecil ini?
Menurut Marazzi, semuanya bermula dengan satu idea yang dianggap pelik oleh kebanyakan orang.
“Semuanya bermula di sini, di bengkel buruk kami. Tapi yang paling penting, semuanya datang daripada satu idea yang gila. Imaginasi, kesabaran dan banyak hari bekerja.
“Setahun saya habiskan masa untuk memotong, mengimpal, membuat kesilapan dan ketawa. Setahun mengejar sesuatu yang tak pernah dibuat sebelum ini: Panda paling sempit di dunia,” katanya.









Maksimum 15km/j
Flat Fiat setinggi 145 sentimeter dan panjang 340 sentimeter ini mempunyai berat hanya 264 kilogram. Disebabkan reka bentuknya yang amat kecil, kelajuannya maksimum sekitar 15 km/j dengan jarak perjalanan sekitar 25 km untuk sekali cas penuh.
Walaupun tidak sesuai digunakan di jalan raya kerana tidak memenuhi piawaian keselamatan, kereta ini dihasilkan sebagai projek khas untuk menarik perhatian dan mempromosikan bengkel kitar semula milik Marazzi.
Selepas rekaannya menjadi tular di media sosial, Marazzi kini sedang menyiapkan permohonan rasmi kepada Guinness World Records bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai kereta boleh dipandu paling sempit yang pernah dibina.








