Penyelewengan dana sukuk: SPRM sita 6 kediaman mewah, lot tanah Tan Sri bernilai RM12 juta | The Reporter

Penyelewengan dana sukuk: SPRM sita 6 kediaman mewah, lot tanah Tan Sri bernilai RM12 juta

SPRM jalankan siasatan terhadap penyelewengan dana sukuk projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
SPRM dijangka memanggil antara 30 hingga 50 saksi bagi membantu siasatan kes ini. Gambar: SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita enam kediaman mewah dan sebidang tanah lot yang dipercayai milik seorang Tan Sri, dengan anggaran nilai RM12 juta. Sitaan itu dilakukan susulan siasatan terhadap penyelewengan dana sukuk projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Dalam serbuan itu, SPRM turut menemui kuda mewah bernilai ratusan ribu ringgit yang disyaki dibeli menggunakan dana sukuk.

Memetik Harian Metro, SPRM memanggil Tan Sri dan isterinya untuk dirakam percakapan, namun mereka tidak hadir atas alasan masalah kesihatan. SPRM akan meneruskan siasatan bagi mengesan aset milik pasangan itu di dalam dan luar negara.

Menurut sumber, SPRM juga dijangka memanggil antara 30 hingga 50 saksi bagi membantu siasatan kes ini.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM telah menyita pelbagai aset milik individu terbabit termasuk beg tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai, dan kediaman mewah yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM32 juta. Selain itu, sebuah stor simpanan pelbagai minuman keras mewah yang dianggarkan bernilai RM3 juta turut ditemukan dan disyaki berkait dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Bahagian Komunikasi Strategik SPRM menjelaskan bahawa semua aset tersebut disita di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

Pada bulan lalu, empat individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri ditahan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM360 juta, berkaitan projek lebuh raya bernilai kira-kira RM1.3 bilion yang dijalankan antara 2016 hingga 2017. Mereka terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 50-an hingga 70-an.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan bahawa SPRM telah membuka tiga kertas siasatan sejak 9 Mei lalu. Dalam siasatan itu, SPRM menyita wang tunai RM1.9 juta, dua kereta mewah bernilai RM900,000 serta akaun bank bernilai RM34 juta.

Related Posts