Selepas lebih dua dekad bersama UMNO, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini mengumumkan secara rasmi peletakan semua jawatan dalam parti itu. Beliau juga menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook. Tengku Zafrul menjelaskan, surat peletakan jawatan telah dihantar kepada pucuk pimpinan UMNO dan pada masa sama, beliau telah menyampaikan niat untuk menyertai PKR kepada Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.
“Saya telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat kepada Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Dr Fuziah Salleh. Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat,” katanya.
Letak semua jawatan, termasuk Ketua Bahagian
Dalam surat kepada UMNO, Tengku Zafrul menyatakan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan keahlian sebagai ahli parti.
Keputusan itu menurutnya dibuat selepas bermuhasabah serta menilai pelbagai faktor termasuk keserasian dan kesesuaian hala tuju politik ketika ini.
“Keputusan ini bukan mudah. Sebelum membuat keputusan ini, saya telah meminta nasihat dan pandangan dari sahabat-sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk dari Yang Amat Berhormat Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri.”
UMNO satu-satunya parti politik yang disertai
Tengku Zafrul menjelaskan, UMNO merupakan satu-satunya parti yang disertainya sejak tahun 1997. Justeru keputusan ini katanya tidak dibuat secara terburu-buru.
“Saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam.”
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang pernah menyokongnya dalam UMNO.
“Jasa anda tak mungkin akan terbalas dan akan saya kenang sampai bila-bila. Terima kasih.”








