Guru tadika didakwa cederakan murid dengan pen, keluarga buat laporan polis | The Reporter

Guru tadika didakwa cederakan murid dengan pen, keluarga buat laporan polis

Suspek wanita memakai baju gelap bergari di meja siasatan dengan wajah tidak kelihatan, berlatar belakangkan bilik gelap.
Gambar hiasan

Dalam masyarakat yang meletakkan pendidikan sebagai asas pembentukan insan, sekolah seharusnya menjadi ruang yang paling selamat untuk anak-anak. Namun apabila institusi itu sendiri menjadi punca trauma, maka ada sesuatu yang amat membimbangkan sedang berlaku.

Tragedi kali ini berlaku di sebuah tadika swasta ternama apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun didakwa menjadi mangsa kekerasan guru sendiri sehingga mengalami trauma mendalam.

Menurut perkongsian aktivis pendidikan, Cikgu Mohd Fadhli Salleh, kejadian dipercayai berlaku di sebuah tadika swasta di kawasan Gombak. Mangsa dikatakan dihempas ke meja sebelum ditikam dengan pen oleh seorang guru.

Kejadian itu didedahkan oleh ibu bapa mangsa yang nekad mengambil tindakan undang-undang selepas usaha menyelesaikan secara baik tidak mendapat kerjasama daripada pihak sekolah.

Mengalami trauma mendalam

Kanak-kanak itu kini dilaporkan mengalami trauma yang serius. Menurut ibu bapanya, setiap kali melalui kawasan sekolah anak mereka akan ketakutan dan memintanya menutup cermin kenderaan sambil berkata, “Mama, tutup cermin. Kakak takut.”

Lebih menyayat hati, rakaman CCTV yang sempat ditonton oleh si bapa menunjukkan detik anaknya dianiaya. Beliau dilaporkan menangis dan menggigil sebaik melihat sendiri bagaimana anak kecil itu didera secara fizikal.

Mangsa mengalami tujuh kesan tikaman di kepala akibat serangan menggunakan pen, dipercayai dilakukan oleh guru berkenaan.

Usaha mendapatkan keadilan

Difahamkan laporan polis telah dibuat di IPD Gombak pada awal pagi dengan Cikgu Fadhli sendiri hadir menemani keluarga mangsa. Peguam Puan Nor Zabetha juga tampil memberikan bantuan guaman dan akan mengiringi kes ini ke mahkamah.

Sebelum itu, keluarga telah membawa mangsa mendapatkan rawatan di klinik swasta dan Hospital Sungai Buloh namun laporan perubatan tidak dapat dikeluarkan segera kerana tiada dokumen polis. Kini mangsa telah dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut dan pengesahan kecederaan.

Tadika swasta bukan jaminan keselamatan

Kes ini menimbulkan persoalan tentang tahap keselamatan dan kebertanggungjawaban pihak tadika swasta dalam menjaga kebajikan pelajar. Walaupun statusnya ‘ternama’, ibu bapa memaklumkan pihak sekolah enggan memberikan kerjasama dengan tidak memberikan rakaman CCTV penuh dan didakwa cuba melindungi pelaku dengan membuat laporan polis sendiri.

Cikgu Mohd Fadhli turut menzahirkan kekesalan terhadap segelintir individu yang menyalahgunakan profesion perguruan. Menurutnya, menjadi pendidik memerlukan jiwa penyayang dan kesabaran tinggi dalam mendidik anak-anak kecil.

Beliau menyeru agar individu yang tidak mampu mengawal emosi atau tidak menyukai kanak-kanak supaya tidak memohon menjadi guru, pembantu pra atau pengasuh.

Dalam dunia yang semakin mencabar, perlindungan kepada anak-anak seharusnya menjadi keutamaan. Tidak kira sekolah kerajaan atau swasta, setiap institusi perlu memastikan semua warga pendidik memiliki sifat empati dan profesionalisme tinggi. Kepercayaan yang dikhianati hanya menambah luka kepada keluarga yang sudah pun diuji.

Related Posts