Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sambutan hari lahir yang sepatutnya menjadi detik penuh kegembiraan bertukar menjadi pengalaman ngeri buat pasangan suami isteri apabila anak lelaki mereka bernama Uwais, nyaris kehilangan nyawa akibat tercekik sebiji belon yang belum ditiup.
Kisah menyayat hati ini dikongsi oleh Nurul Huda Zulkhairi di Facebook yang kini tular serta mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Menurut perkongsian itu, kejadian berlaku pada 20 Mei lalu ketika mereka menganjurkan majlis ulang tahun untuk Uwais yang turut dihadiri rakan-rakan dan guru lamanya. Ketika ibu bapanya sibuk melayan tetamu, Uwais dilihat bermain dan berlari bersama sahabat karibnya.
Tidak lama sebelum kejadian, Uwais sempat menawarkan minuman campuran kepada ibunya sebelum berlalu bermain semula.
Muka bertukar biru
Situasi bertukar cemas apabila adik ipar Nurul menyedari sesuatu yang tidak kena apabila melihat Uwais kelihatan semput dan sukar bernafas. Menyedari keadaan itu, suami Nurul segera bergegas mendapatkan alat bantuan pernafasan yang memang sentiasa tersedia di rumah, memandangkan Uwais mempunyai sejarah asma
Namun keadaan bertambah serius apabila seorang lagi adik ipar berlari membawa Uwais yang ketika itu sudah tidak sedarkan diri dan mukanya juga bertukar biru, tanda jantungnya telah terhenti.
Bapa Uwais dan seorang rakan yang juga doktor cuba memberikan CPR serta pelbagai usaha menyelamat namun tiada tanda positif. Mereka segera membawa Uwais ke hospital dengan bantuan rakan mereka, Dr Rafiq yang memandu dengan pantas sambil memberikan arahan kepada bapa Uwais untuk teruskan bantuan pernafasan.
Sepanjang perjalanan, Uwais terkulai kaku dan biru di riba ayahnya manakala ibunya hanya mampu berdoa dalam tangisan.
Jumpa belon dalam saluran pernafasan
Setibanya di Jabatan Kecemasan Hospital Kulim, pasukan perubatan terus bertindak pantas. Semasa ketika proses intubasi dilakukan, mereka menemui sebiji belon kecil tersangkut di saluran pernafasan Uwais.
Belon itu segera dikeluarkan dan CPR diteruskan hingga akhirnya degupan jantung Uwais kembali, satu keajaiban yang membuat semua yang hadir menitiskan air mata.
“Kerana sebiji belon, saya hampir kehilangan anak. Tetapi kerana kasih sayang, doa dan harapan… Mama percaya Uwais akan kembali tersenyum seperti dulu,” luahnya penuh emosi.
Uwais kini dirawat lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah dan menunjukkan perkembangan positif. Nurul Huda berkongsi kisah ini sebagai peringatan kepada semua ibu bapa bahawa benda sekecil belon pun boleh menjadi punca tragedi jika tidak diawasi. Beliau berharap perkongsiannya menjadi pengajaran agar tiada lagi insiden sama berulang.
Sumber : Facebook Nurul Huda Zulkhairi




