Kuil 100 tahun di Gua Charas terima notis ceroboh, diarah kosongkan tapak | The Reporter

Kuil 100 tahun di Gua Charas terima notis ceroboh, diarah kosongkan tapak

Bahagian dalam Kuil Jalalingeswarar Sivan berusia 100 tahun di Gua Charas, Kuantan, Pahang.
Ruang ibadat Kuil Jalalingeswarar Sivan di Gua Charas yang berusia lebih 100 tahun kini berdepan arahan pengosongan selepas menerima notis pencerobohan tanah.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuantan telah mengeluarkan notis pengosongan terhadap Kuil Jalalingeswarar Sivan yang terletak di kawasan pelancongan Gua Charas, Panching atas dakwaan menceroboh tanah kerajaan.

Notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 828) yang memperuntukkan tindakan ke atas sebarang pencerobohan tanah milik kerajaan. Ia telah diserahkan kepada wakil pengurusan kuil pada 15 Mei lalu.

Kuil yang dikatakan telah wujud sejak hampir 100 tahun itu diarahkan supaya dikosongkan dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis dikeluarkan.

Sekiranya gagal mematuhi arahan tersebut, pihak terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Menurut sumber yang dipetik Malaysia Gazette, PDT Kuantan kini dalam proses memaklumkan secara rasmi kepada Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang untuk tindakan lanjut.

Setakat ini, pihak pengurusan kuil masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung notis tersebut.

Gua Charas merupakan salah satu destinasi pelancongan yang terkenal dengan nilai sejarah, budaya dan keagamaan, menarik perhatian pelancong tempatan serta antarabangsa. Tindakan ini dijangka mencetuskan pelbagai reaksi memandangkan sensitiviti lokasi yang turut melibatkan aspek warisan dan kepercayaan agama.

Bagaimanapun, pihak berkuasa dijangka akan terus berpegang kepada peruntukan undang-undang dalam menguruskan isu ini.

Related Posts