Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang membelanjakan sebanyak RM3.3 juta bagi pembelian 15 buah kenderaan rasmi Toyota Camry 2.5V (AT) (CBU), bagi menggantikan kereta yang digunakan sejak tahun 2020.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan, pembelian tersebut dibuat pada 4 Mac lalu dan melibatkan kos keseluruhan RM3,311,895, termasuk cukai dan duti eksais. Secara purata, kos bagi setiap buah kenderaan adalah sekitar RM220,789.
Kenderaan itu diperoleh bagi kegunaan rasmi 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) serta tiga pegawai ex-officio iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri. Dua buah lagi diperuntukkan untuk kegunaan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Perkara ini dimaklumkan ketika Chow menjawab soalan daripada Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) dan Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Sebelum itu, Ahli DUN Penaga, Mohd Yunus turut mempersoalkan keperluan pembelian tersebut dalam keadaan kerajaan negeri berdepan cabaran kewangan, termasuk menerima pendahuluan RM100 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi mengurus aliran tunai. Beliau turut menyentuh soal ketelusan kerana pembelian itu tidak dimaklumkan secara terbuka kepada umum.
Sumber: Harian Metro








