Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Para saintis memberi amaran bahawa oksigen yang menyokong kehidupan di planet Bumi tidak akan kekal selama-lamanya.
Menurut satu kajian yang disokong oleh NASA, dalam tempoh sekitar satu bilion tahun dari sekarang, atmosfera Bumi dijangka kehilangan hampir semua oksigen yang ada. Keadaan itu bakal mengubah planet ini menjadi tempat yang tidak lagi sesuai untuk kehidupan kompleks seperti manusia, haiwan dan tumbuhan.
Kajian ini dijalankan oleh Kazumi Ozaki dari Universiti Toho dan Christopher Reinhard dari Georgia Tech, di mana mereka menggunakan model komputer untuk meramal bagaimana keadaan atmosfera Bumi akan berubah pada masa hadapan.
Oksigen Bumi akan pupus apabila fotosintesis terhenti
Kajian itu mendapati apabila matahari menjadi semakin panas, karbon dioksida akan semakin berkurang. Apabila kandungan karbon dioksida terlalu rendah, tumbuhan tidak lagi dapat menjalankan fotosintesis, lalu penghasilan oksigen akan terhenti dan atmosfera Bumi akan kehilangan oksigen secara beransur-ansur dalam tempoh yang sangat panjang.
Tanpa fotosintesis, kandungan oksigen di atmosfera akan jatuh ke tahap yang terlalu rendah untuk menyokong kehidupan. Planet ini kemudian akan kembali ke keadaan seperti zaman awal kewujudannya, iaitu dipenuhi gas metana dan kekurangan oksigen.
Suhu di bahagian permukaan juga dijangka akan meningkat secara mendadak, diikuti dengan kerosakan pada lapisan ozon serta gangguan besar terhadap ekosistem sedia ada.
Penemuan ini ubah cara pencarian kehidupan di planet lain
Lebih menarik, kajian ini turut memberi kesan kepada cara saintis mencari kehidupan di planet lain. Selama ini, kehadiran oksigen dianggap sebagai tanda utama kewujudan makhluk hidup. Namun penemuan ini membuktikan planet yang pernah dihuni juga boleh kehilangan oksigen sepenuhnya. Maka, pencarian kehidupan luar Bumi mungkin perlu menilai gas lain sebagai petunjuk biologi yang lebih menyeluruh.
Walaupun senario ini hanya dijangka berlaku dalam jangka masa yang sangat panjang, ia tetap memberi mesej penting kepada manusia hari ini. Masyarakat tidak seharusnya mengambil mudah tentang keadaan atmosfera Bumi yang sedia ada. Meskipun bekalan oksigen ketika ini masih stabil, keseimbangan itu sebenarnya sangat rapuh dan boleh berubah secara drastik dalam tempoh masa tertentu.
NASA menegaskan tiada ancaman segera terhadap bekalan oksigen Bumi pada masa ini. Namun, kajian tersebut membuka perspektif baharu tentang betapa terbatasnya keupayaan planet ini untuk terus menyokong kehidupan. Ia turut menjadi peringatan bahawa usaha melindungi alam sekitar adalah satu keperluan yang tidak boleh diabaikan. – Agensi








