'Apa yang berlaku mesti nak kaitkan dengan saya', TMJ kesal spekulasi kaitkan baginda | The Reporter

‘Apa yang berlaku mesti nak kaitkan dengan saya’, TMJ kesal spekulasi kaitkan baginda

TMJ kesal spekulasi kaitkan baginda dalam beberapa insiden
TMJ menegaskan pengaruh merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam mana-mana bidang. Gambar: Facebook HRH Crown Prince of Johor

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) menzahirkan rasa kecewa terhadap dakwaan dan spekulasi yang mengaitkan baginda dengan beberapa insiden yang berlaku.

Dalam satu kenyataan, baginda menyifatkan tindakan segelintir pihak yang cuba mengheret nama baginda ke dalam isu-isu kontroversi seperti serangan asid ke atas pemain bola sepak kebangsaan Faisal Halim dan insiden pukul di sebuah konsert sebagai tidak berasas.

“Baru-baru ini juga ada berlaku kes pukul di sebuah konsert tempatan. Seperti biasa, ada yang cuba kaitkan insiden itu dengan saya. Konsert punk tempatan, pula tu. Adakah muka saya kelihatan seperti orang yang habiskan masa dengan ‘headbanging’ di gig punk underground?

“Dan seperti biasa, dalam insiden Faisal Halim, timbul pula bisikan dan spekulasi yang cuba kaitkan saya. Biar saya jelaskan, saya dan JDT tidak perlu turunkan diri ke tahap serendah itu,” titah Baginda.

Menurut TMJ, pengaruh adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam mana-mana bidang, baik sukan, politik mahupun kehidupan umum. Ia merupakan sebahagian daripada ekosistem yang wujud, dan dalam kes baginda, pengaruh tersebut hanya akan semakin meningkat.

“Kalau yang membuatkan anda sakit hati adalah pengaruh, saya ada berita kurang baik — pengaruh itu tidak akan hilang.

“Saya baru 41 tahun, dan pengaruh saya, kuasa, pengalaman, kewangan hanya akan bertambah dari sini,” tambahnya.

Baginda turut mendedahkan terdapat dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan aktiviti komersial seperti Bazaar Ramadan di Johor, termasuk tuduhan kononnya baginda memiliki semua khemah jualan yang terlibat.

“Serius? Adakah muka saya nampak seperti seseorang yang cari keuntungan daripada gerai Bazaar Ramadan?” soal baginda.

Baginda juga menyentuh bagaimana segala isu atau kejadian besar dalam negara seringkali dikaitkan dengan dirinya, seolah-olah apa sahaja yang berlaku mesti berpunca daripadanya.

“Nampaknya, apa sahaja yang berlaku mesti dikaitkan dengan saya. Menarik, bukan?

“Pengaruh, dalam kedudukan saya, bukan satu pilihan, ia satu ketetapan. Saya di sini untuk berkhidmat kepada Negeri saya dan memartabatkannya,” tegasnya.

Related Posts