Inisiatif MyKiosk yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) banyak membuka peluang kepada usahawan kecil memulakan perniagaan dalam suasana lebih teratur dan strategik. Walaupun hanya tinggal satu kiosk yang masih beroperasi di Teras Jernang, Bangi, seorang peniaga kecil tetap cekal meneruskan perniagaannya.
Kiosk yang terletak betul-betul di hadapan asrama KPTM Bangi itu kini menjadi satu-satunya gerai aktif, menjual air balang sejak September tahun lalu. Menurut peniaga tersebut, kawasan itu pernah menempatkan enam kiosk, namun peniaga lain terpaksa gulung tikar kerana cabaran jualan dan kos operasi.
Meskipun kini beroperasi seorang diri, dia tetap positif dan menganggap MyKiosk sebagai peluang penting buat usahawan kecil sepertinya untuk memulakan langkah dalam dunia perniagaan. Gerainya dibuka setiap Ahad hingga Jumaat dari jam 12 tengah hari hingga 6.45 petang sambil menanti kehadiran pelanggan.
“Ramai tanya ada kosong ke tak tapi katanya dah penuh. Saya pun tak pasti sebab tak nampak orang baru buka. Tapi saya masih teruskan sebab ini peluang yang bukan senang nak dapat,” katanya dalam perkongsian media sosial yang menarik perhatian ramai.
Dalam hantaran itu juga, dia menyeru orang ramai khususnya pelajar dan penduduk sekitar Bangi untuk datang menyokong perniagaan kecil seperti miliknya agar inisiatif baik seperti MyKiosk terus memberi impak positif kepada komuniti setempat.
“Jika tidak hari ini, bila lagi kan?” tulisnya berseloroh.
Kisah ini membuktikan bahawa walaupun cabaran tetap ada, sokongan terhadap inisiatif seperti MyKiosk mampu menyemarakkan semangat keusahawanan dan membantu peniaga tempatan terus bertahan serta berkembang.
Sumber : Facebook Bandar Baru Bangi Community








