Jiran sumbat kucing dalam longkang, wanita buat laporan polis | The Reporter

Jiran sumbat kucing dalam longkang, wanita buat laporan polis

Kucing basah dan cedera dirawat di klinik haiwan selepas ditemui dalam longkang
Keadaan kucing bernama Manis ketika dirawat di klinik selepas diselamatkan dari longkang.

Seorang wanita dikenali sebagai Kak Yong meluahkan rasa sedih apabila kucing kesayangannya bernama Manis, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam longkang berhampiran rumah selepas dipercayai menjadi mangsa kekejaman jiran.

Dalam hantaran yang kini tular di Facebook Kak Yong berdepan dengan detik cemas apabila menyedari Manis hilang selepas terlupa memasukkannya ke dalam sangkar. Kucing tersebut, yang selama ini dibela secara indoor dipercayai telah keluar rumah tanpa disedari.

“Saya cari seluruh lorong, taman sebelah pun saya pusing. Tiba-tiba ternampak jiran selang rumah tengah jolok sesuatu dalam longkang. Bila dia nampak saya, dia terus masuk rumah,” tulisnya.

Naluri kuat membuatkan beliau memeriksa longkang tersebut dan terkejut apabila menemui Manis dalam keadaan berdarah di bahagian hidung dipercayai dicederakan dan disumbat ke dalam saluran sempit itu.

Kucing berwarna putih itu juga dilihat dalam keadaan yang tidak bermaya dengan hampir keseluruhan badan disaluti air longkang berwarna hitam

Terus dibawa ke klinik haiwan, dibiayai seorang doktor

Tidak membuang masa, Kak Yong segera membawa Manis ke klinik haiwan bagi mendapatkan rawatan segera. Kos rawatan tersebut difahamkan telah dibiayai oleh seorang doktor yang prihatin dengan nasib si bulu malang itu.

Dalam pada itu, satu laporan polis telah dibuat terhadap jiran berkenaan yang didakwa cuba mencederakan atau membunuh kucing tersebut. Netizen mengecam keras tindakan kejam itu dan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Kucing tak pernah pun kacau rumah dia, ini memang niat jahat,” luah salah seorang pengguna di ruangan komen.

Kak Yong kini menuntut keadilan untuk Manis, sambil berharap kejadian seperti ini tidak berulang kepada haiwan lain.

Related Posts