Aisar Khaled dakwa lebih ramai orang susah di Indonesia berbanding Malaysia | The Reporter

Aisar Khaled dakwa lebih ramai orang susah di Indonesia berbanding Malaysia

Aisar Khaled bersama orang ramai di Indonesia sambil memegang bendera
Aisar Khaled bersama peminat di Indonesia, lokasi pilihan utamanya untuk berkongsi rezeki.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pempengaruh media sosial, Aisar Khaled, menjadi perhatian netizen selepas kenyataannya dalam satu sesi temubual podcast mengenai aktivitinya berkongsi rezeki di Indonesia tular dan mengundang pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia.

Menurut Aisar, keputusan untuk lebih aktif membuat kandungan membantu masyarakat di Indonesia bukan semata-mata kerana populariti, tetapi kerana lebih mudah mencari individu yang benar-benar hidup dalam kesusahan di negara itu berbanding Malaysia.

“Sebab apa saya selalu ke Indonesia? Sebab di Malaysia susah nak mencari orang yang betul-betul susah. Di Indonesia lebih ramai orang susah kerana rakyatnya terlalu ramai.

“Jujur di Indonesia lebih ramai orang susah. Betul, saya menceritakan perkara yang realiti. Sebab apa Indonesia ramai orang yang susah, sebab rakyatnya terlalu ramai,” katanya dalam temubual tersebut.

Suasana kemiskinan antara dua negara berbeza

Beliau turut membandingkan suasana di kedua-dua negara, antaranya keberadaan gerobak makanan di tepi jalan dan rumah-rumah kecil di Indonesia yang menurutnya hampir tiada di Malaysia. Malah, Aisar berkata reaksi rakyat Indonesia terhadap pemberian juga lebih beremosi berbanding di Malaysia yang dianggap sekadar mengucapkan terima kasih.

“Contohnya di sini di tepi-tepi jalan banyak gerobak-gerobak. Di Malaysia mana ada gerobak? Tak ada. Di sini juga banyak rumah-rumah kecil yang dibina sendiri.

“Di Malaysia memang susah nak mencari orang seperti itu. Ada tetapi di tempat-tempat yang jauh. Kalau di Indonesia ini, di mana-mana sahaja ada orang susah.

“Contohnya di Malaysia, saya beri abang (penemubual Podcast) 100,000 (sebagai contoh). Orang Malaysia bila menerimanya, “Oh, terima kasih” begitu (reaksinya). Kalau di Indonesia, “Oh bang, terima kasih bang!”. Jujur memang berbeza reaksinya,” katanya.

Netizen pertikai kenyataan dan persoal keikhlasan

Namun, kenyataan itu mengundang rasa tidak senang dalam kalangan netizen Malaysia. Ramai menyifatkan hujah tersebut bersifat simplistik dan mengabaikan realiti sebenar masyarakat tempatan yang turut berdepan pelbagai tekanan ekonomi.

Antara kritikan yang banyak dikemukakan termasuk dakwaan masih ramai golongan B40 di Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak yang hidup dalam keadaan serba kekurangan. Namun, tidak menjadi tumpuan kandungan seumpama itu.

Terdapat juga pandangan yang mendakwa tindakan Aisar memilih Indonesia lebih bersifat strategi kandungan demi angka tontonan dan bukan semata-mata keprihatinan. Ada yang membandingkan pendekatan tersebut dengan program bantuan tempatan seperti Bersamamu yang sejak dahulu menunjukkan realiti kehidupan rakyat susah di Malaysia.

Kenyataan seumpama ini turut mencetuskan perdebatan tentang sensitiviti dalam membandingkan kesusahan antara negara, terutama apabila ia memberi gambaran seolah-olah masyarakat tempatan tidak layak untuk dibantu atau tidak ‘cukup menyedihkan’ untuk dijadikan kandungan.

Related Posts