Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Memiliki banglo mewah bukan lagi satu kebanggaan buat Datuk Seri Aliff Syukri apabila beliau mendedahkan betapa besarnya tekanan kewangan yang perlu ditanggung setiap bulan hanya untuk menyelenggara kediamannya.
Menurut usahawan sensasi itu, sekurang-kurangnya RM40,000 diperlukan setiap bulan untuk menampung kos elektrik, penjagaan kolam renang dan gaji 12 kakitangan termasuk pembantu rumah, pembantu peribadi serta pengawal keselamatan.
“Dulu saya rasa rumah banglo ni boleh dibanggakan. Tetapi selepas memilikinya, barulah saya sedar betapa besarnya komitmen bulanan yang perlu ditanggung,” katanya memetik laporan New Straits Times.
Rumah yang terletak di Petaling Jaya itu dibina di atas empat lot banglo dengan keluasan mencecah 28,000 kaki persegi dan menempatkan 28 bilik. Namun menurut Aliff, hampir 70 peratus bilik itu tidak digunakan demi menjimatkan kos.
Lebih mengejutkan, Aliff mendedahkan beliau terpaksa mengeluarkan belanja sebanyak RM300,000 untuk mengecat semula kediaman mewahnya itu. Belum lagi termasuk kos membaiki tandas bocor, jubin retak dan pelbagai lagi kerosakan lain yang muncul semenjak mendiami rumah itu hampir lapan tahun lalu.
“Sewaktu mula-mula bina rumah ini, saya tak jangka akan ada masalah seperti tandas bocor dan jubin pecah. Sekarang, saya dah habiskan lebih RM3 juta untuk membaiki semua itu dari lampu, paip, sistem air, tandas sampai ke jubin.”
Tambahnya, jumlah keseluruhan kos penyelenggaraan dan pembaikan setiap bulan boleh mencecah antara RM300,000 hingga RM500,000.
“Sebab itulah saya kena kerja kuat cari duit. Komitmen bulanan besar, jadi saya kena pastikan perniagaan sentiasa berjalan.”
Dalam pada itu, beliau menasihatkan anak muda supaya berfikir panjang sebelum membeli rumah, bukan sekadar melihat harga pembelian semata-mata.
“Kalau boleh pilih semula, saya memang nak rumah lebih kecil. Tapi inilah rumah saya sekarang, saya terima. Cuma saya nasihatkan anak muda, jangan tengok harga rumah je, fikir juga kos jangka panjang untuk jaga rumah tu.”








