Insiden kemalangan FRU: Lori pasir dipercayai alami kegagalan fungsi stereng | The Reporter

Insiden kemalangan FRU: Lori pasir dipercayai alami kegagalan fungsi stereng

Lori yang membawa 18 anggota Pegawai Rendah Polis (PRP) dirempuh dari hadapan oleh sebuah lori muatan pasir
Lori PSP Unit 5 telah dirempuh daripada hadapan oleh lori yang membawa muatan pasir. Gambar: Malaysia Gazette

Nahas yang mengorbankan sembilan orang termasuk lapan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus–Sungai Lampam di Teluk Intan dipercayai berpunca daripada kegagalan fungsi stereng sebuah lori muatan pasir.

Menurut kenyataan rasmi Ketua Polis Perak, CP Dato’ Noor Hisam bin Nordin, kejadian berlaku kira-kira jam 8.51 pagi apabila lori yang membawa 18 anggota Pegawai Rendah Polis (PRP) dirempuh dari hadapan oleh sebuah lori muatan pasir yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng.

Kesemua mangsa merupakan anggota PRP yang baru selesai menjalankan penugasan sempena sambutan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak dan sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh.

“Lori PSP Unit 5 tersebut dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.

“Ketika sampai di tempat kejadian, lori PSP Unit 5 telah dirempuh daripada hadapan oleh lori yang membawa muatan pasir yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng,” katanya.

Daripada 18 penumpang, lapan maut di tempat kejadian termasuk pemandu lori, enam lagi mengalami kecederaan parah manakala empat mengalami cedera ringan. Semua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.

Related Posts