Pengasas dUCk Group, Datin Vivy Yusof, mengesahkan dirinya kini menghidap penyakit autoimun Systemic Lupus Erythematosus (SLE) menerusi satu hantaran peribadi kepada para pengikutnya.
Vivy menjelaskan, pada awalnya dia menyangka dirinya hanya mengalami demam biasa. Namun selepas mengalami sakit sendi yang berpanjangan, dia membuat pemeriksaan lanjut dan disahkan menghidap SLE, sejenis penyakit kronik yang menyebabkan sistem imun menyerang tisu dan organ tubuh sendiri.
Vivy mengakui, ketika pertama kali diberitahu mengenai diagnosis itu, dia langsung tidak faham apa maksud sebenar penyakit tersebut. Tambahan pula, istilah ‘lupus’ itu sendiri kedengaran asing dan langsung tidak menggambarkan betapa seriusnya keadaan itu.
Doktor kemudian memaklumkan, SLE ialah penyakit seumur hidup yang tidak mempunyai penawar. Ia hanya boleh dikawal dengan pengambilan ubat secara berterusan untuk mencegah serangan lebih teruk.

Vivy turut berkongsi dia kini mengambil ubat steroid setiap hari dan mula mengalami kesan sampingan seperti wajah membengkak dan peningkatan berat badan. Keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan dirinya.
Apa yang paling membimbangkan Vivy ialah apabila dia terkenangkan seorang rakannya yang turut menghidap lupus dan kini terpaksa bergantung kepada kerusi roda akibat komplikasi penyakit tersebut. Vivy khuatir dia tidak cukup kuat untuk menghadapi situasi sebegitu jika keadaannya menjadi semakin teruk.








