Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar semua pihak menangguhkan sebarang tindakan atau kenyataan berkaitan isu Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) buat sementara waktu demi menjaga kepentingan bersama.
Beliau memaklumkan bahawa perbincangan lanjut akan segera diadakan sejurus Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pulang dari lawatan rasmi ke London, United Kingdom.
Menurut Perdana Menteri, perbincangan sebelum ini telah dijalankan berdasarkan prinsip-prinsip yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
“Saya telah berkesempatan bercakap dengan Premier Sarawak Abang Johari Openg semalam mengenai urusan PETRONAS-Petros berdasarkan prinsip yang telah disepakati sebelum ini.
“Sekembalinya Premier dari lawatan rasmi ke London, United Kingdom kelak, kami akan segera mengadakan perbincangan lanjut untuk memuktamadkannya,” katanya.
Beliau turut menyuarakan keyakinannya bahawa isu ini dapat diselesaikan dengan berhemah.
“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa isu ini dapat dirungkai dengan berhemah dengan berdiri teguh di jalur wacana yang sihat dan bermakna, Insya-Allah,” jelasnya.








