Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Teluk Chempedak menjadi tumpuan luar biasa apabila acara RXZ Fighter 2.0 menarik lebih 70,000 pengunjung dalam tempoh dua hari penganjurannya, sekali gus mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat dunia permotoran tempatan dan serantau.
Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan NGO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, angka kehadiran tersebut jauh mengatasi jangkaan awal, malah lebih tinggi berbanding edisi sebelumnya yang menghimpunkan kira-kira 50,000 peminat.
Acara kali ini bukan sahaja disertai peserta dari seluruh negara termasuk Perlis, Johor dan negeri-negeri Pantai Timur, malah turut menarik minat dari peserta luar negara seperti Thailand, Indonesia dan Singapura. Perkara ini memperlihatkan betapa acara tersebut semakin mendapat pengiktirafan dalam kalangan peminat sukan permotoran.
Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar Pahang merasmikan program berkenaan pada Sabtu.
Fadzli turut menyatakan bahawa penganjuran RXZ Fighter turut memberi impak positif terhadap ekonomi setempat, apabila hampir semua penginapan termasuk hotel dan homestay penuh ditempah. Malah, terdapat peserta yang memilih untuk berkhemah di tepi pantai dan ada juga yang bermalam di masjid.
Katanya lagi, kerajaan negeri merancang untuk meneruskan acara itu pada tahun hadapan dengan persiapan yang lebih rapi. Walaupun terdapat cadangan agar ia dipindahkan ke daerah lain, namun setelah mengambil kira aspek seperti kapasiti penginapan, acara itu akan dikekalkan di Kuantan.
Sumber: Sinar Harian








