18 tahun setia jaga kebun, pekerja asing akhirnya pulang – video perpisahan buat ramai tersentuh | The Reporter

18 tahun setia jaga kebun, pekerja asing akhirnya pulang – video perpisahan buat ramai tersentuh

Majikan berpelukan dengan pekerja asing di lapangan terbang, saat perpisahan selepas 18 tahun berkhidmat
Detik perpisahan menyentuh hati – majikan memeluk pekerja asing yang bakal pulang ke tanah air selepas 18 tahun bersama menjaga kebun.

Sebuah video pendek memaparkan detik perpisahan antara seorang majikan tempatan dan pekerja Bangladesh tular di media sosial apabila momen itu menyentuh hati ribuan penonton yang kagum dengan kesetiaan dan kejujuran pekerja asing tersebut. 

Dalam video berdurasi sekitar 29 saat itu, kelihatan pemilik kebun berpelukan dengan pekerja Bangladesh yang telah berkhidmat selama 18 tahun. 

Emosi bercampur baur jelas tergambar pada wajah kedua-duanya – pekerja itu dilihat tersenyum sambil mengesat air mata, mungkin kerana gembira dapat pulang ke tanah air, namun sedih meninggalkan majikan dan tempat mencari rezeki sekian lama.

https://www.tiktok.com/@en.mustafakamal/video/7498517739242343698

Menurut kapsyen video tersebut, pemilik kebun mengakui kebunnya tidak akan berkembang sampai ke tahap sekarang tanpa bantuan pekerja-pekerja ini. “Hari ini tiba masa berpisah. Mereka terpaksa pulang ke tanah air. Terima kasih atas segala jasa. Takkan pernah lupa,” tulisnya.

Rata-rata netizen memenuhi ruangan komen dengan ucapan terima kasih dan penghargaan terhadap pekerja migran yang sering tidak dipandang tinggi, walaupun banyak berjasa dalam sektor asas negara.

Antara komen yang mencuri perhatian termasuk dari pengguna bernama Hanim yang menulis, Sebab itu kita kena baik dengan semua orang. Entah-entah dia cerita pada Allah yang baik-baik pasal kita.

Seorang lagi pengguna berkongsi kisah tentang pakciknya yang pernah mempercayai seorang staf Bangladesh sepenuhnya, bahkan pernah menyerahkan RM50,000 tunai untuk membeli barang mentah dan baki walau sesen pun dikembalikan. “Bukan sekali, tapi memang itu la kerja dia. Sangat jujur,” tulisnya.

Kisah ini bukan hanya menyorot nilai kesetiaan seorang pekerja, tetapi juga membuka mata ramai tentang hubungan kemanusiaan melangkaui bangsa dan sempadan. 

Dalam suasana dunia yang sering dibayangi prejudis terhadap pekerja asing, video ini menjadi peringatan bahawa hormat dan penghargaan boleh membina hubungan yang tulus dan bermakna, bahkan selepas 18 tahun berkhidmat di tanah orang.

Sumber: En Mustafa Kamal

Related Posts