Seorang pemuda berusia 25 tahun maut dalam satu kemalangan tragis apabila kereta dipandunya terbabas lalu merempuh tiang papan tanda di Bandar Serenia menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi Khamis.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.33 pagi sebelum menghantar tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA ke lokasi kejadian.
Setibanya di tempat kejadian, pasukan penyelamat mendapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi berada dalam keadaan remuk selepas dipercayai hilang kawalan dan merempuh tiang papan tanda besar di laluan terbabit.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayatnya kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Insiden itu turut menyebabkan aliran trafik di laluan berkenaan terganggu seketika ketika operasi menyelamat dan pengalihan kenderaan dijalankan.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak polis.








