Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal mencadangkan penukaran nama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab di Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai penghormatan kepada bekas Perdana Menteri kelima Malaysia yang baru sahaja meninggal dunia.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya telah menyediakan kertas cadangan penukaran nama tersebut yang akan dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Dr Asyraf, cadangan itu bukan sahaja sebagai mengenang jasa besar Almarhum Tun Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, tetapi turut mengambil kira peranan besar beliau dalam memperkenalkan gagasan Ulul Albab semasa era pentadbirannya.
- Catatan doa dan persiapan Haji Lisa Surihani raih perhatian
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
- Azhar Ahmad, Nik Alif Aiman capai perdamaian, selesai salah faham secara baik
- ‘Malaysia tidak perlukan Rashid Maidin 2.0’ – Pemuda MCA
“Zaman beliaulah agenda Ulul Albab ini mula diperkenalkan bagi membangunkan modal insan yang seimbang dan holistik, bukan sahaja dalam ilmu sains dan teknologi tetapi juga dalam penguasaan Al-Quran di bawah dasar Islam Hadhari,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, sumbangan Pak Lah dalam membentuk dasar pendidikan yang berteraskan nilai menjadikan beliau layak digelar sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan.
Cadangan tersebut dilihat sebagai satu langkah signifikan untuk memperingati legasi kepimpinan Tun Abdullah dalam dunia pendidikan dan pembangunan insan di Malaysia.








