Tindakan seorang wanita memuat naik video anak perempuannya yang menghayun kucing peliharaan mereka mencetuskan kemarahan ramai pengguna media sosial.
Wanita dikenali sebagai, Grazyna Rogowska, dari Poland itu dilihat ketawa di sebalik kamera ketika anaknya yang baru berusia lima tahun memegang kaki belakang kucing hitam putih bernama Kasper lalu dihayun dalam bulatan sambil muzik rancak berkumandang. Kasper kelihatan ketakutan dan mengiau kuat ketika diperlakukan sedemikian.
Video tersebut kemudian dimuat naik ke TikTok pada hujung bulan Mac lalu dan menjadi tular dengan ribuan netizen menuntut agar Rogowska dikenakan tindakan tegas. Perkara itu mendapat perhatian pihak berkuasa dan Rogowska kini disiasat serta berdepan dengan hukuman penjara sehingga lima tahun atas dakwaan menyeksa haiwan.
Sementara itu, kucing berkenaan telah diselamatkan dan dibawa ke pusat perlindungan haiwan di Wysock Wielki, Poland. Pemeriksaan mendapati, bulu Kasper dipenuhi sisa bahan seperti gam dan terdapat kesan gunting pada beberapa bahagian. Malah, Kasper juga dikatakan terlalu kurus.
Bagaimanapun, Rogowska pula menegaskan dirinya adalah mangsa keadaan selepas dihujani kecaman serta ugutan di media sosial. Dalam salah satu video dia berkata, “Saya mungkin takkan dapat jumpa anak saya lagi disebabkan anda semua. Dia akan masuk pusat jagaan, dan saya pula ke penjara. Tolong hentikan komen-komen jahat ini.”
Dia turut mempertikaikan tindakan polis dan menegaskan apa yang dilakukan mereka hanyalah untuk berseronok.
“Anak saya sekarang tak berhenti menangis dan tak mahu makan,” tambahnya.
Namun, kenyataan itu tidak mengundang simpati netizen. Seorang pengguna TikTok membalas, “Baguslah kalau dia menangis. Itu pengajaran kerana perbuatan menyeksa haiwan tak boleh dimaafkan.”
Polis Poland turut mengesahkan menerima laporan ancaman terhadap Rogowska dan anaknya dan siasatan kini sedang dijalankan.
Pusat perlindungan haiwan yang menjaga Kasper memaklumkan, mereka sudah memberikan vaksin, memasukkan cip pengenalan dan merawat kecederaan yang dialami.
“Kami akan pastikan Kasper kembali sihat, tenang dan rasa selamat,” tulis mereka di Facebook.
Sumber: Daily Mail








