Penubuhan Institut Kanser Negara (IKN) didorong oleh komitmen kerajaan dalam menyediakan pusat rawatan bersepadu dan khusus, sejajar dengan peningkatan kes kanser dalam kalangan rakyat Malaysia.
Di sebalik pembinaan IKN,bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu tapak dikenal pasti dan diluluskan pembangunan institut itu di bawah naungan Abdullah yang kehilangan isteri, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood akibat kanser payudara pada 2005.
“Dibawah naungan Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi yang kehilangan isterinya Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood akibat kanser payudara pada tahun 2005, sebuah tapak berkeluasan 1065 ekar yang terletak di Presint 7, Putrajaya telah dikenal pasti dan diluluskan untuk pembangunan Institut Kanser Negara.
“Lokasinya yang strategik bersebelahan dengan Hospital Putrajaya dan Putrajaya Sentral,” kongsinya.
Tambah beliau, semasa penubuhan IKN, beliau diberikan amanah untuk memastikan pelaksanaan IKN memberikan manfaat kepada orang ramai.
“Ketika itu saya telah diberikan wasiat dan diberikan tanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan Institusi Kanser Negara demi untuk manfaat orang ramai,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Tun Abdullah sebagai pemimpin yang banyak berjasa dalam pembangunan modal insan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan amat prihatin terhadap nasib pesakit kanser.








