Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Memasuki 15 Syawal, jamuan Hari Raya masih meriah di mana-mana sahaja. Ada yang mengambil kesempatan mengadakan rumah terbuka untuk meraikan saudara mara dan juga rakan-rakan.
Tidak terkecuali juga, pihak sekolah turut meraikan kemeriahan Syawal dengan mengadakan jamuan untuk anak-anak murid dan pelajar.
Menjadi tumpuan ramai dan mendapat pujian, satu video di TikTok dari seorang pendidik yang dikenali sebagai cikgu Wan Mimi yang berkongsikan suasana meriah sambutan Hari Raya di sekolah.
Jika kebiasaannya, murid-murid akan membawa makanan hidangan raya dari rumah dan berkongsi makanan tersebut bersama rakan-rakan dan cikgu di dalam kelas. Namun, video berkenaan menunjukkan murid-murid dihidangkan dengan pelbagai makanan yang disusun secara buffet.
Apa yang menarik, makanan dihidangkan secara buffet, lengkap dengan pelbagai seksyen makanan seperti kiosk lemang, ketupat, rendang, aneka kuih-muih, minuman, makanan Barat, nasi dan lauk-pauk, satay, serta kiosk aiskrim yang menjadi tumpuan ramai.
Warga pendidik santuni anak-anak murid
Apa yang lebih menyentuh hati, cikgu-cikgu sendiri turun padang membantu mencedukkan makanan, menuangkan minuman, dan menghidangkan aiskrim kepada murid-murid. Layanan mesra ini bukan sahaja menggembirakan anak-anak, malah turut mencerminkan kasih sayang dan keprihatinan warga pendidik dalam menyantuni mereka.
Difahamkan, jamuan tersebut merupakan hasil sumbangan daripada PIBG, warga pendidik serta ibu bapa murid sekolah berkenaan.
Rata-rata warganet memuji inisiatif yang dilakukan oleh pihak sekolah, terutamanya selepas beberapa tahun kebelakangan ini timbul isu-isu berkaitan penganjuran jamuan Hari Raya di sekolah.
Usaha sebegini bukan sahaja menyemarakkan semangat Syawal, malah membina kenangan manis buat anak-anak yang diraikan dengan penuh meriah dan kasih sayang.




