PERHILITAN tambah baik SOP penggunaan gajah dalam program awam | The Reporter

PERHILITAN tambah baik SOP penggunaan gajah dalam program awam

PERHILITAN respon isu tular penggunaan gajah Sanum dan Mekna.
Sanum, salah seekor gajah yang digunakan dalam program tersebut. Gambar: Tangkap layar TikTok AkmalSharif

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia akan menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas bagi mengkaji serta menambah baik prosedur operasi standard (SOP) dan peruntukan undang-undang berkaitan penggunaan gajah dalam program awam susulan video tular melibatkan dua ekor gajah, Sanum dan Mekna, di Kampung Pasir Tumboh, Kelantan.

Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, jabatan itu mengambil maklum mengenai video yang tular di media sosial memaparkan penggunaan gajah dalam Program Komuniti MADANI di Kampung Pasir Tumboh, Kota Bharu.

Menurut beliau, penggunaan gajah dalam program berkenaan telah melalui proses kelulusan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengendalian Program Perarakan Gajah yang berkuat kuasa sejak 31 Disember 2016.

“Pada 25 Mei 2026, PERHILITAN menerima permohonan pameran gajah dan hidupan liar sempena Program Komuniti MADANI daripada Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan.

“Permohonan itu kemudiannya diteliti dan diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Permohonan Permit Khas yang bersidang pada 16 Jun 2026 berdasarkan SOP yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sebelum program berlangsung, pemeriksaan kesihatan serta pemilihan gajah telah dilaksanakan mengikut SOP sedia ada.

Katanya, penilaian terhadap aspek kebajikan haiwan turut dilakukan sebelum, semasa dan selepas program, termasuk sepanjang proses pengangkutan, penyediaan serta penggunaan gajah dalam majlis tersebut.

Kebimbangan masyarakat

Bagaimanapun, PERHILITAN mengakui kebimbangan yang dibangkitkan masyarakat berhubung isu kebajikan gajah dan akan mengambil langkah penambahbaikan terhadap prosedur sedia ada.

“Jabatan cakna dan prihatin terhadap maklum balas daripada masyarakat sivil serta rakyat Malaysia secara umum mengenai isu kebajikan gajah yang dibangkitkan.

“Sehubungan itu, PERHILITAN akan menubuhkan Pasukan Petugas Khas bersama pihak-pihak berkepentingan bagi mengkaji dan menambah baik undang-undang, SOP serta prosedur sedia ada,” katanya.

Baca juga:
Perkemas SOP

Dalam masa sama, beliau berkata, PERHILITAN akan mendapatkan khidmat nasihat Unit Integriti Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Bahagian Penyiasatan Tatakelola, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu memperkemaskan SOP dan prosedur berkaitan secara menyeluruh.

Menurutnya, sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan memelihara serta memulihara hidupan liar negara, PERHILITAN kekal komited melaksanakan penambahbaikan secara berterusan berdasarkan pandangan dan maklum balas masyarakat.

Orang ramai turut digesa supaya hanya menyebarkan maklumat yang sahih bagi mengelakkan kekeliruan, selain menyalurkan sebarang aduan melalui talian hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman rasmi jabatan.

Related Posts