Seorang lelaki yang sepatutnya melindungi anak tirinya, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 36 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas semalam selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melakukan perbuatan terkutuk terhadap remaja perempuan itu sejak 2021.
Lapor Harian Metro, tertuduh berusia 35 tahun yang bekerja sebagai buruh membuat pengakuan bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Zulkipli Abdullah.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman 10 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan, menjadikan keseluruhan 30 tahun penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 29 Mac lalu dan 36 sebatan, namun maksimum hanya 24 sebatan dibenarkan.
Mengikut pertuduhan, perbuatan tersebut dilakukan terhadap mangsa berusia 13 hingga 16 tahun, di sebuah bilik di Kuala Balah, Jeli pada tiga tempoh berbeza – Jun 2021, Oktober 2024 dan Mac 2025.
- BERSATU pandang serius kenyataan Presiden PAS
- ‘PAS akan menilai semula kerjasama dengan BERSATU’ – Hadi Awang
- ‘Siapa kata pejuang sumud tiada taring?’ – Syed Saddiq
- Presiden PTM nafi dakwaan tular isu salah guna kuasa, minta wang
- Kapal SS Free Gaza dan SS Liberty cipta sejarah tembusi sekatan Israel ke Gaza pada 2008
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan beberapa peruntukan dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman penjara panjang, sebatan mandatori serta perintah kaunseling dan pengawasan polis selepas dibebaskan.
Kejadian terbongkar selepas mangsa bersama ibunya ke klinik dan disahkan sedang mengandung 20 minggu, sebelum laporan dibuat di Balai Polis Kuala Balah dan tertuduh ditahan malam 29 Mac lalu.
Siasatan mendapati perbuatan itu berlaku sejak mangsa berumur 13 tahun, berulang ketika mangsa berusia 16 tahun, dan kali terakhir pada Mac lalu, semuanya tanpa kerelaan mangsa.
Tertuduh tidak diwakili peguam dan merayu hukuman diringankan dengan alasan mempunyai tanggungan dan berhasrat mengahwini mangsa, namun Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan memohon hukuman berat kerana tiada keinsafan ditunjukkan.
Hakim menegaskan bahawa undang-undang melarang sebarang perkahwinan antara mereka sebelum menjatuhkan hukuman.








