'Sekolah tinggi tapi gaji rendah' – Pemuda terkilan dikritik tetapi tidak menyalahkan ibunya | The Reporter

‘Sekolah tinggi tapi gaji rendah’ – Pemuda terkilan dikritik tetapi tidak menyalahkan ibunya

Pemuda duduk termenung selepas terasa dengan kata-kata ibunya tentang gaji
Luahan hati seorang anak yang terasa dikritik tentang gaji, tetapi tetap menjaga hati ibunya | Foto hiasan

Di sebalik pencapaian akademik yang membanggakan, tidak semua anak muda bernasib baik untuk terus mendapat pekerjaan dengan gaji tinggi. Dalam kesibukan mengejar cita-cita, ada pula yang diuji dengan kata-kata menyakitkan daripada insan terdekat.

Seorang pemuda yang dikenali sebagai Kuya, meluahkan rasa kecewa di platform X selepas ibunya mempersoalkan pendapatan yang diperolehnya. Walaupun sedang menjalani latihan industri, gaji yang sedikit tinggi membuatkan keluarganya menyangka dia sudah bekerja sepenuh masa.

Titik terendah dalam hidup

“Aku sekarang berada di titik paling rendah dalam hidup, terasa sangat bila mak cakap macam tu. ‘Sekolah tinggi tapi gaji rendah macam takde sekolah’. Bukan main aku menangis dekat pejabat, memang terasa sangat.”

Walau bagaimanapun, Kuya memaklumkan dia tidak mengambil hati malah sanggup menyerahkan semua pendapatannya kepada ibunya.

“Jadi aku bagi je semua yang aku dapat bulan ni. Aku terasa tak apa, jangan mak yang terasa.”

Tambahnya, dia sudah menghabiskan semua simpanan demi menyambut Aidilfitri dan langsung tidak membeli baju baharu, malah memakai semula pakaian tahun-tahun lalu.

“Bulan ni aku rasa semua orang pun tengah susah sebab nak sambut raya. Aku pun sama. Semua simpanan aku bagi untuk raya. Aku sendiri pun tak beraya sangat. Baju pun pakai yang lama-lama je.”

Tanggung segalanya sendirian

Tekanan yang dialaminya bertambah apabila dia menjadi harapan keluarga, dianggap sudah berjaya dan berdikari, sedangkan realitinya dia masih menjalani latihan industri dan terpaksa menanggung segalanya sendirian hanya kerana menerima elaun yang sedikit lebih tinggi daripada biasa.

“Sekarang ni aku tengah buat latihan industri, tapi macam kerja sebenar. Mak aku pun tahu benda ni, cuma sebab gaji aku nampak lebih tinggi daripada intern biasa, jadi mereka anggap aku dah kerja. Aku pun tak tahu nak jelaskan macam mana. Tapi bagi mereka, aku dah kerja. Sedangkan aku masih belajar.”

Ramai yang tersentuh dengan luahan Kuya dan berkongsi pengalaman serupa, malah ada yang memberi kata-kata semangat dan mendoakan agar dia terus tabah, urusannya dipermudahkan serta rezekinya diperluaskan kerana memahami beban menjadi penyara utama keluarga.

Walaupun dilanda emosi, Kuya tetap mempertahankan ibu bapanya dan tidak menyalahkan mereka.

Tolong jangan kecam mak ayah saya ya. Mereka pun masih belajar memahami. Saya pun tak salahkan mereka. Saya cuma luahkan perasaan saja. Saya sayang mak sangat,” katanya yang juga tidak menyangka luahan itu akan tular.

Related Posts