Kanak-kanak perempuan 7 Tahun maut tercampak keluar dari kenderaan | The Reporter

Kanak-kanak perempuan 7 Tahun maut tercampak keluar dari kenderaan

Kanak-kanak perempuan maut
Sumber Gambar: Sinar Harian

Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut setelah tercampak keluar daripada kenderaan dalam satu kemalangan di Kilometer 147.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), arah timur, pada Isnin.

Nurul Lara Maisarah Mohd Hafiz, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1.40 petang melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah Honda Civic dan Perodua Myvi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Honda Civic yang dipandu ibu mangsa berusia 31 tahun dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.

“Ketika kejadian, cuaca hujan. Tiba-tiba Honda Civic dipandu ibu mangsa berusia 31 tahun hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kanan.

“Akibatnya, mangsa telah tercampak keluar ke laluan bertentangan dan jatuh mengenai cermin besar hadapan Perodua Myvi di laluan bertentangan,” katanya.

Tambah beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Pekan Awah, manakala seorang lagi anak pasangan itu, kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun mengalami kecederaan ringan.

“Pemandu Honda Civic dan suaminya berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Pemandu Perodua Myvi pula, seorang lelaki berusia 57 tahun bersama isterinya, 54, serta anak lelaki mereka, 11 tahun, hanya cedera ringan dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan, kenderaan yang terlibat akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan, selain pihak polis sedang mengesan saksi bebas kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts