Penyampai radio 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin kini kembali bersiaran selepas direhatkan bulan lalu susulan isu kontroversi.
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh stesen radio Era menerusi hantaran di Instagram.
Menerusi perkongsian tersebut juga, trio berkenaan segak mengenakan baju melayu bergambar untuk tatapan peminat mereka selain merakamkan momen solat Subuh berjemaah.
“Alhamdulilah, tiga sahabat bersatu kembali. Selamat kembali 3PE! Lepas lama tak on air sama-sama, akhirnya hari ini hari paling bersejarah untuk mereka.
“Segak mereka hari ini berbaju melayu. Hari ini, baru mereka dapat bermaaf-maafan lepas lama tak jumpa,” tulisnya.
Dalam pada itu juga, seorang pemanggil telah menggelarkan trio berkenaan sebagai ‘legend’. Pemanggil yang dikenali sebagai Omar itu berkongsikan bagaimana ketiga-tiga penyampai radio itu telah memberikan semangat kepadanya semasa beliau meluahkan perasaan ketika berpisah dengan isterinya.
Sementara itu, menerusi ruangan komen, ramai yang menitipkan ucapan kepada trio berkenaan dan mendoakan agar urusan kerjaya mereka dipermudahkan.








