9,684 warga asing terbabit jenayah di Malaysia, warga dari lima negara ini antara tertinggi | The Reporter

9,684 warga asing terbabit jenayah di Malaysia, warga dari lima negara ini antara tertinggi

Statistik jenayah warga asing di Malaysia dari 2021 hingga 2024.
Foto hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sepanjang tempoh empat tahun sejak 2021, seramai 9,684 warga asing ditahan kerana terbabit dalam pelbagai jenayah termasuk kekerasan, samun, curi, bunuh dan rogol.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, daripada jumlah tersebut, warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Filipina dan Pakistan merupakan antara yang paling ramai ditahan kerana terlibat dalam aktiviti jenayah di negara ini.

Menurutnya, warga asing yang terlibat dalam jenayah di Malaysia terdiri daripada dua kategori utama – mereka yang masuk secara sah tetapi tinggal melebihi tempoh dan mereka yang memasuki negara ini secara haram melalui laluan tidak sah.

“Bagi tangkapan membabitkan tiada dokumen sepanjang tempoh sama, seramai 4,222 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya, memetik laporan Harian Metro.

Beliau berkata, bagi kes tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, seramai 6,559 warga asing telah ditahan sejak 2021 hingga November lalu.

Dalam tempoh 2020 hingga November 2024, seramai 2,141 warga asing disenaraikan sebagai orang dikehendaki pihak berkuasa, termasuk 1,414 kes jenayah, 325 jenayah komersial dan 402 kes narkotik.

“Cabaran utama dalam membanteras jenayah membabitkan warga asing adalah kesukaran mengenal pasti identiti mereka, terutama dalam kalangan Pati, serta kekangan kerjasama antarabangsa dan akses kepada maklumat risikan,” jelasnya.

Bagaimanapun, PDRM terus memperkukuh usaha membanteras jenayah dalam kalangan warga asing melalui penggunaan teknologi, operasi bersepadu serta meningkatkan kerjasama dengan pihak antarabangsa bagi memastikan keselamatan negara lebih terjamin.

Related Posts