Polis siasat dakwaan guru lelaki sepak murid tahun 3 | The Reporter

Polis siasat dakwaan guru lelaki sepak murid tahun 3

Murid tahun 3
Tindakan guru berkenaan dikatakan telah menyebabkan murid berkenaan cedera. Gambar hiasan

Seorang wanita membuat laporan polis mendakwa anaknya yang merupakan murid lelaki tahun tiga cedera kerana telah disepak oleh seorang guru.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, laporan kejadian itu diterima daripada ibu mangsa berusia 41 tahun pada Ahad lalu.

Insiden yang berlaku di sebuah sekolah di Labu Kubong, Teluk Intan itu melibatkan seorang guru lelaki yang berusia 52 tahun.

Dr Bakri turut memaklumkan, murid berkenaan telah disepak ketika berlaku pergaduhan di dalam kelas.

“Menurut ibu kanak-kanak terbabit, anaknya telah disepak guru lelaki berusia 52 tahun itu ketika berlaku pergaduhan di dalam kelas melibatkan murid Tahun Tiga.

“Tindakan guru tersebut menyebabkan murid berkenaan mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan pesakit luar.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts