Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak akan mengambil tindakan lanjut terhadap tiga penyampai radio yang terlibat dalam kontroversi menghina agama Hindu.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, ketiga-tiga penyampai tersebut telah memohon maaf dan digantung tugas oleh stesen radio terbabit dan telah menghadapi tekanan besar sejak isu ini timbul.
“MCMC telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM250,000 kepada syarikat pengendali, Maestra Broadcast Sdn Bhd (MBSB), kerana gagal mematuhi syarat sebagai pemegang lesen MCMC.
“Sebagai pemegang lesen, terdapat tanggungjawab yang perlu dipatuhi. Malangnya, mereka membenarkan satu kandungan yang menjadi perhatian umum dimuat naik di akaun rasmi mereka,” katanya.
Fahmi menjelaskan bahawa kompaun dikenakan terhadap syarikat dan bukan individu, dan MBSB masih boleh menggunakan mekanisme tribunal rayuan jika mereka tidak bersetuju dengan keputusan tersebut. MCMC juga tidak menggantung lesen MBSB setelah menerima penjelasan dan langkah pembetulan yang diambil oleh syarikat berkenaan.
Beliau juga memaklumkan perbandingan dengan kes lain membabitkan individu seperti Harith Iskandar dan Cecilia Yap adalah tidak relevan.
Dalam pada itu juga, Fahmi turut menggesa semua pihak untuk lebih berhati-hati dalam menghasilkan kandungan bagi menjaga keharmonian masyarakat Malaysia.
Sumber: Berita Harian








