881 perkahwinan bawah umur sejak 2022, Kelantan catat kes tertinggi dengan 193 kes | The Reporter

881 perkahwinan bawah umur sejak 2022, Kelantan catat kes tertinggi dengan 193 kes

Statistik perkahwinan bawah umur di Malaysia sejak 2022, Kelantan tertinggi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, menjelaskan statistik perkahwinan bawah umur di Malaysia sejak 2022, dengan Kelantan mencatat jumlah tertinggi sebanyak 193 kes daripada keseluruhan 881 kes yang direkodkan. | Foto: FB Dato’ Setia Dr. Naim

Lebih 800 kes perkahwinan melibatkan individu bawah umur direkodkan sejak 2022 hingga tahun lalu, dengan Kelantan mencatat jumlah tertinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, mendedahkan daripada 881 kes, 518 melibatkan remaja perempuan.

Kelantan merekodkan 193 kes, diikuti Selangor (133), Kedah (126), Terengganu (115), Johor (73), Sabah (63), Pahang (51), Perlis (39), Negeri Sembilan (38), Wilayah Persekutuan (27), Melaka (19) dan Pulau Pinang (4).

Bagi memastikan perkahwinan bawah umur dibuat mengikut prosedur yang ketat, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menetapkan garis panduan khas yang dikuatkuasakan sejak 28 September 2018. Setiap permohonan perkahwinan bawah umur perlu melalui proses penilaian menyeluruh oleh Mahkamah Syariah bagi memastikan kepentingan dan kesejahteraan kanak-kanak terlibat terjaga.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut memainkan peranan dalam menambah baik pengurusan perkahwinan bawah umur. JAKIM juga bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam merangka strategi menangani faktor yang mendorong kepada perkahwinan bawah umur.

Mengikut Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, umur minimum untuk perkahwinan ialah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan. Namun, bagi individu di bawah umur yang ingin berkahwin, kebenaran mahkamah diperlukan terlebih dahulu.

Sumber: Berita Harian

Related Posts