'Kerajaan tak campur tangan urusan, tindakan badan penguat kuasa' - PM | The Reporter

‘Kerajaan tak campur tangan urusan, tindakan badan penguat kuasa’ – PM

Anwar Ibrahim
Sumber Gambar: FB Anwar Ibrahim

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak campur tangan dalam urusan badan penguat kuasa dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak. Sebaliknya, langkah tersebut bertujuan memastikan tatakelola yang baik di bawah pentadbirannya.

Anwar menjelaskan bahawa beliau serta barisan Kabinet tidak terlibat dalam keputusan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan tugas masing-masing.

Beliau juga menafikan dakwaan yang mengatakan beliau berdendam serta mencampuri kesalahan pihak tertentu. Ujarnya, beliau hanya memberikan kebebasan sepenuhnya kepada badan penguat kuasa dan turut memaklumkan pada Jemaah Menteri supaya tidak mencampuri urusan tersebut.

Dalam pada itu, beliau meminta agar memberikan ruang kepada badan penguat kuasa untuk menjalankan tugas mereka dalam membendung amalan tidak beretika seperti rasuah.

“Kita beri ruang kepada polis untuk menjalankan tugas mereka, LHDN untuk mengutip cukai, dan SPRM untuk melakukan siasatan bagi menghentikan amalan rasuah. Negara boleh menjadi kaya, tetapi jika pemimpinnya sibuk mengumpul kekayaan untuk diri sendiri, bagaimana pula dengan kebajikan rakyat?

“Bila ada keterlanjuran sehingga menggunakan kuasa untuk menjadi kaya raya dengan menyimpan ratusan juta ringgit, ia perlu dihentikan,” katanya.

Menurut Anwar, tindakan tegas badan penguat kuasa terhadap pihak yang terlibat dalam salah laku adalah langkah penting bagi membendung amalan tidak beretika seperti rasuah.

Sumber: Astro Awani

Related Posts