Penumpang layak dapat refund jika penerbangan tertunda 5 jam atau lebih - MAVCOM | The Reporter

Penumpang layak dapat refund jika penerbangan tertunda 5 jam atau lebih – MAVCOM

Refund penerbangan tertunda oleh MAVCOM untuk penumpang yang terjejas.
Syarikat penerbangan wajib beri refund jika penerbangan tertunda 5 jam atau lebih. | Foto hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menegaskan penumpang layak menerima bayaran balik tiket jika penerbangan mereka tertunda selama lima jam atau lebih, termasuk untuk tiket yang tidak boleh dikembalikan. Peraturan baharu ini berkuat kuasa di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) yang dipertingkatkan pada 1 September 2024.

Pengarah Hal Ehwal Pengguna MAVCOM, Pushpalatha Subramaniam, menjelaskan syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa mesti menawarkan bayaran balik menggunakan kaedah pembayaran asal. Ini memberi pilihan kepada penumpang yang tidak mahu meneruskan perjalanan atau jika tujuan perjalanan mereka tidak lagi relevan.

“Walaupun syarikat penerbangan masih boleh menawarkan kredit atau baucar perjalanan, pilihan pertama yang mesti diberikan ialah bayaran balik melalui kaedah pembayaran asal. Akhirnya, keputusan tetap di tangan pengguna,” katanya dalam satu temubual di Bernama TV.

Peraturan Baharu Penerbangan:

  1. Makluman Perubahan Masa Penerbangan:
    • Syarikat penerbangan wajib memaklumkan penumpang sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal jika terdapat perubahan pada waktu berlepas (STD).
    • Perubahan dibenarkan atas sebab teknikal atau cuaca buruk, namun dilarang untuk alasan komersial dalam tempoh dua minggu sebelum tarikh penerbangan.
  2. Pembatalan dan Overbooking:
    • Semua penerbangan yang dibatalkan mesti dikeluarkan segera dari semua platform tempahan untuk mengelakkan pengguna membeli tiket untuk penerbangan yang tidak wujud.
    • Dalam kes overbooking, penumpang mesti dimaklumkan di kaunter daftar masuk atau pintu berlepas, dan mereka yang telah menaiki pesawat tidak boleh diturunkan.
  3. Denda dan Hukuman:
    • MAVCOM memantau pematuhan peraturan ini melalui aduan pengguna dan laporan bulanan daripada syarikat penerbangan.
    • Jika didapati melanggar MACPC, syarikat penerbangan boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 untuk kesalahan pertama dan 10 kali ganda untuk kesalahan seterusnya.
    • Sehingga kini, MAVCOM telah mengenakan denda kewangan berjumlah RM4.85 juta kepada syarikat penerbangan yang melanggar peraturan MACPC.
  4. Tempoh Aduan Dipanjangkan:
    • Tempoh bagi pengguna mengemukakan aduan dilanjutkan daripada satu tahun kepada dua tahun, memberikan lebih banyak masa kepada pengguna untuk mencari penyelesaian berkaitan isu penerbangan mereka.

MAVCOM menyarankan pengguna untuk segera membuat aduan sebaik sahaja menghadapi gangguan penerbangan bagi memastikan hak mereka terjamin.

Sumber: Bernama

Related Posts