'Penjawat awam boleh dikenakan tatatertib jika hutang cecah 10 kali ganda gaji' - KSN | The Reporter

‘Penjawat awam boleh dikenakan tatatertib jika hutang cecah 10 kali ganda gaji’ – KSN

KSN
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam bahawa tindakan tatatertib boleh dikenakan sekiranya didapati berdepan dengan hutang yang tinggi sehingga 10 kali ganda gaji bulanan.

Ujarnya, perkara berkenaan termaktub dibawah Sub-Peraturan 13 (7) Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Justeru itu, beliau menyeru penjawat awam agar berbelanja mengikut kemampuan bagi mengelakkan terjerat dengan hutang yang membebankan.

“Apa yang dimaksudkan keberhutangan melampau ini, pada bila-bila masa keberhutangan (penjawat awam) 10 kali gaji bulanan.

“Kedua, penghutang penghakiman tidak dapat dijelaskan tempoh satu bulan atau pegawai diisytiharkan bankrap oleh mahkamah atau badan berkuasa. Ini kita sebut sebagai satu kesalahan kepada penjawat awam,” katanya.

Memetik Buletin Utama, Shamsul Azri turut mendedahkan seramai 106 pegawai awam telah dikenakan tindakan tata tertib atas kesalahan bankrap disebabkan keberhutangan melampau.

Ujarnya, mengikut pekeliling, pendapatan bersih penjawat awam hendaklah berada sekurang-kurangnya 40 peratus daripada gaji namun had dikecualikan melibatkan pinjaman pendidikan dan perumahan.

Shamsul juga menyatakan gaya hidup berlebihan antara punca penjawat awam terjerumus dengan hutang.

“Satunya (disebabkan) gaya hidup, saya selalu berkongsi dengan penjawat awam bahawa kita jangan cuba bandingkan hidup kita dengan orang lain.

“Sebab itu saya selalu meminta ketua jabatan atau pegawai kanan untuk sentiasa menasihatkan pegawai bawahan pergi ke AKPK, memang ada kursus khas menerangkan tatacara mengurus kewangan peribadi dan keluarga,” katanya lagi.

Related Posts